'Ini hanya bola sepak, tiada siapa perlu mati teraniaya'


  • Podium
  • Khamis, 17 Mac 2022

TANGKAP layar insiden pergaduhan penyokong KL City FC dan Selangor FC di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini. — Facebook

INSIDEN pergaduhan membabitkan para penyokong bola sepak bukan suatu benda baharu.

Di Malaysia sahaja, pelbagai insiden melibatkan para penyokong kerap tercetus sejak 1980-an sama ada peringkat liga atau antarabangsa.

Beberapa kelab kerap terpalit dengan insiden pergaduhan, antaranya Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Johor Darul Takzim (JDT), Sri Pahang, Selangor FC dan Terengganu FC (TFC).

Musim ini, meskipun saingan Liga Super belum berlangsung separuh jalan, sudah tercetus dua insiden pergaduhan membabitkan penyokong daripada tiga buah kelab.

Pada 5 Mac lalu, dua lelaki ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan antara penyokong Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Selangor FC di luar stadium sejurus tamat perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan.

Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, sepatutnya sudah tiada lagi samseng bola sepak di negara ini.

Ujarnya, peminat sukan dan manusia yang bertamadun sepatutnya melihat sukan ini sebagai suatu bentuk keseronokan serta hiburan.

"Sebarang keputusan daripada perlawanan itu sama ada menang atau kalah, berpunca daripada kelemahan pengadil atau provokasi daripada penyokong lawan sekali pun, cukuplah ia berakhir di dalam stadium.

"Terimalah sebagai suatu keputusan muktamad. Hal-hal lain itu biarlah pihak pengurusan pasukan untuk bertindak mengikut saluran yang betul," katanya kepada Majoriti.

Namun menurut Pekan, jika dilihat dalam konteks pergaduhan hingga berlakunya balingan mercun dan serang menyerang, maka pihak bertanggungjawab perlu melihat sesuatu insiden itu dengan lebih meluas.

"Kita tidak mahu mereka yang tidak berdosa khususnya kanak-kanak yang turut hadir ke stadium menjadi mangsa.

"Pernah terjadi pada 1990-an, seorang penonton remaja yang juga merupakan penyokong Selangor FC, buta matanya terkena balingan mercun di dalam stadium.

"Tidak terkena kepada kita, tidak mengapa. Bagaimana kalau berlaku kepada adik-beradik, anak atau saudara-mara kita. Sudah pasti ia menjadi trauma sepanjang hayat dan gelap masa depan mangsa," ujarnya.

Justeru itu, Pekan mahu kawalan keselamatan diperketatkan di pintu masuk dan juga luar stadium selain memberikan hukuman atau denda kepada pengurusan kelab.

"Hukuman berat kepada samseng bola sepak ini perlu diberi perhatian dan diperkasakan.

"Dulu, samseng bola sepak cukup takut dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), yang turut bersama anjing keselamatan mengawal stadium.

"Mungkin kita kena praktikkannya semula. Jangan beri muka kepada samseng-samseng ini untuk menunjukkan keganasan mereka di tempat yang tidak sepatutnya.

"Ini hanya bola sepak, kalah tahun ini, jumpa lagi tahun depan dan tiada siapa yang perlu mati teraniaya," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram