PENGURUS West Ham United, David Moyes telah menjelaskan perubahan taktikal yang membantu pasukannya menamatkan rekod tanpa kalah Liverpool.
The Reds mengalami kekalahan buat kali pertama dalam 26 perlawanan apabila mereka tumbang 2-3 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London pada tengah malam Isnin.
Trent Alexander-Arnold menyamakan kedudukan 1-1 sejurus sebelum rehat, selepas gol sendiri Alisson Becker.
Pablo Fornals dan Kurt Zouma kemudian menjaringkan gol untuk The Hammers pada separuh masa kedua, sebelum pemain gantian, Divock Origi menjaringkan gol saguhati.
Moyes berkata: “Kami cuba mengubah (taktik) sedikit pada separuh masa pertama untuk mempunyai lebih banyak peluang, untuk mendapatkan lebih banyak bola tetapi ia tidak berfungsi dengan baik seperti yang sepatutnya.
“Itu semua bergantung kepada Liverpool dan cara mereka berubah dan mencari ruang untuk bermain, jika anda cuba mengisi satu ruang, mereka akan mencari ruang lain dan ia memberi anda lebih banyak masalah.
“Saya tidak rasa kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama. Saya tidak fikir kami bermula dengan perlahan, cuma Liverpool sangat bagus.
“Kami mengubahnya pada separuh masa dan mengubah sedikit kedudukan Pablo dan saya fikir pemain bermain dengan sangat baik pada separuh masa kedua dan menjaringkan gol yang baik, dan mungkin agak tidak bernasib baik untuk tidak menjaringkan lebih banyak gol.
“Liverpool telah berada dalam prestasi yang begitu baik, mereka sangat bagus dan bermain dengan sangat hebat.
“Tetapi kami mempunyai sedikit daya tahan, kami berusaha keras dan mungkin tidak begitu kerap menguasai bola. Kami memutuskan untuk melakukan serangan balas dan sepakan sudut, yang bukanlah merupakan satu perkara buruk jika kami tidak dapat menguasai banyak bola.”
Bos liverpool, Jurgen Klopp tidak berpuas hati dengan gol pertama West Ham kerana mendakwa Alisson telah dihalang oleh Angelo Ogbonna.
Moyes, bagaimanapun, lebih bimbang mengenai keputusan 'lembut' pengadil yang memberikan sepakan percuma yang diberikan kerana kekasaran oleh Declan Rice ke atas Mohamed Salah, yang menjurus kepada gol pertama The Reds.
"Saya belum melihat semula gol pertama. Saya tidak dapat memberitahu anda sama ada terdapat kekasaran pada penjaga gol atau tidak.
“Pengadil musim ini telah memutuskan mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada penjaga gol. Ia menjadikan permainan ini lebih baik seperti tidak memberikan sepakan percuma yang mudah walaupun saya fikir (insiden) Salah kelihatan seperti keputusan sepakan percuma yang tidak sepatutnya.
“Tetapi anda tidak boleh menidakkan kualiti sepakan percuma daripada Trent Alexander-Arnold,” kata Moyes. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram