PIHAK atasan Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan bimbang dengan komunikasi dalam pasukan itu kerana tidak menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa perantaraan.
Menurut laporan akhbar Perancis, L'Équipe, bahasa utama yang digunakan di bilik persalinan adalah Sepanyol, Portugis, Inggeris, dan kadangkala bahasa Itali.
Pengurus PSG, Mauricio Pochettino juga lebih gemar menjalankan sesi latihannya sama ada dalam bahasa Sepanyol atau Inggeris, memandangkan kelab itu mempunyai ramai pemain yang boleh bertutur dalam bahasa Sepanyol.
Selain itu, Pochettino juga merasakan bahawa penguasaan bahasa Perancisnya masih belum berada pada tahap yang memuaskan.
Beberapa stafnya juga mempunyai kebolehan untuk menterjemah ke dalam bahasa Perancis, antaranya adalah anaknya, Sebastiano, yang merupakan ahli fisio PSG.
Namun begitu, hakikat bahawa bahasa Perancis bukan bahasa utama di kelab itu boleh menjadi penghalang kepada pemain muda yang diserap masuk ke dalam skuad utama, seperti yang dijelaskan oleh penyerang muda, Arnaud Kalimuendo, yang dipinjamkan ke Lens.
Difahamkan, sebahagian besar pemain PSG memahami bahasa Perancis, tetapi ada segelintir yang enggan menggunakannya. Sebagai contoh, Neymar, Angel Di Maria dan Keylor Navas tidak pernah bercakap dalam bahasa Perancis, walaupun mereka memahaminya.
Malah, pemain-pemain Perancis yang berada di kelab seperti Kylian Mbappé, Idrissa Gueye dan Abdou Diallo juga berusaha untuk bercakap dalam bahasa Sepanyol dan Inggeris.
Terdapat beberapa pemain yang sama sekali tidak pandai berbahasa Perancis seperti Mauro Icardi dan Leandro Paredes, serta pendatang baharu seperti Lionel Messi dan Achraf Hakimi.
Perkara ini juga dipercayai bertentangan dengan tradisi lama di kelab itu, yang mana pemain baharu harus cuba mempelajari bahasa Perancis untuk bercakap dengan rakan sepasukan mereka dalam suasana sosial dan profesional.
Pada permulaan era pemilikan Qatar, pemain yang tiba dari luar negara dihantar untuk mengikuti kelas bahasa Perancis.
Namun, tradisi itu dikatakan hilang setelah Laurent Blanc meninggalkan kelab itu pada 2016, kali terakhir PSG memiliki pengurus yang bertutur dalam bahasa Perancis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram