NASIB Ole Gunnar Solskjaer sekali lagi menjadi tanda tanya selepas Manchester United tewas 0-2 kepada musuh setempat, Manchester City pada Sabtu.
Walaupun hampir dipecat selepas dimalukan Liverpool pada dua minggu sebelumnya dengan kekalahan 0-5, Solskjaer masih diberi kepercayaan untuk mengemudi Red Devils.
Hasilnya, Solskjaer menukar taktik kepada corak yang lebih seimbang dan berjaya menundukkan Tottenham Hotspurs pada perlawanan selepas Liverpool.
Namun kekalahan kepada City, kembali mengundang persoalan terhadap kemampuan Solskjaer membawa United untuk mencabar kejuaraan liga.
Terbaharu, pengurus Ajax, Erik ten Hag disebut-sebut bakal menggantikan Solskjaer dan berita itu ternyata amat diharapkan penyokong United.
Pengurus berusia 51 tahun itu mengendalikan Ajax sejak 2017 dan berjaya meraih lima trofi utama dan membawa kelab Belanda itu ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2019.
Dengan reputasi dan gaya taktikalnya mendapat pujian ramai pihak termasuk penyokong United sendiri.
Jika hajat penyokong United tertunai, Hag sudah mempunyai visi bagaimana dia akan memulihkan kembali reputasi Red Devils dengan menggunakan corak permainan penguasaan bola yang diinspirasikan daripada Pep Guardiola ketika mengemudi Bayern Munich.
Mengimbas kembali sesi temu bual pada 2019, Hag berkata dia mengikuti perlawanan Bayern pada setiap minggu dan nampak perubahan yang dibawa Pep pada ketika itu.
"Saya lihat kembali modul latihan dan banyak menggunakan falsafah (Pep) dalam corak latihan dan permainan Ajax.
"Saya mahu lebih banyak penguasaan bola, pergerakan dan corak serangan yang tajam. Selain itu saya titikberakkan tahap tekanan terhadap pemain lawan dan mahu pemain sayap bergerak ke tengah bagi membuka ruang kepada bek kiri atau kanan.
"Semua pemain menyerang dan bertahan. Cara ini sesuai dengan DNA Ajax," katanya.
Bagaimanapun, buat masa ini Hag menolak spekulasi bahawa dia akan menggantikan Solskjaer dan mahu kekal bersama Ajax. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram