Rekod Liverpool lebur, Van Dijk persoal mutu pengadilan


  • Podium
  • Isnin, 08 Nov 2021

Van Dijk (kiri) menunjukkan reaksi kecewa selepas West Ham meledak gol ketiga ketika saingan EPL pada Isnin. — Reuters

PEMAIN pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk mempersoalkan mutu pengadilan ketika pasukan berkenaan tewas kepada West Ham United 3-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Isnin.

Kekalahan itu menyaksikan rekod 25 perlawanan tanpa kalah The Reds dalam semua kejohanan lebur.

West Ham membuka tirai jaringan pada minit keempat menerusi gol sendiri penjaga gol Liverpool, Alisson.

Gol berkenaan bagaimanapun dibantah oleh Liverpool kerana didakwa berlaku pelanggaran antara Alisson dan pemain pertahanan West Ham, Angelo Ogbonna namun pengadil membenarkan gol tersebut.

Bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-41.

Bersambung babak kedua, West Ham terus menggandakan asakan dan berjaya menyumbat gol kedua dan ketiga menerusi Pablo Fornals serta Kurt Zouma.

Liverpool cuba merapatkan kedudukan melalui jaringan Divock Origi pada minit ke-83 namun tidak cukup untuk membantu The Reds.

"Dengar, gol itu dikira, ia kekal. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku tetapi saya melihat sepanjang masa bahawa Alisson dikawal, jadi dengan peraturan masa kini, tiada siapa tahu apa yang dibenarkan, ya atau tidak, kadang kala mereka membenarkan dan kadang kala mereka tidak membenarkan.

"Walaupun selepas itu, kami masih mempunyai hampir keseluruhan tempoh permainan untuk bangkit tetapi kami jelas kecewa kerana ketinggalan 1-0," ujar van Dijk.

Ketika ditanya sama ada Liverpool sepatutnya melindungi Alisson daripada situasi bola mati, van Dijk berkata: "Jelas sekali anda tidak boleh kerana penyerang berdiri di sebelahnya, jadi anda tidak menolaknya kerana pengadil berkemungkinan akan memberikan penalti.

"Bergantung kepada pengadil untuk melihat sama ada itu adalah 'foul', ya atau tidak."

Keputusan itu menyaksikan Liverpool jatuh ke tangga keempat dengan 22 mata manakala West Ham berada di kedudukan ketiga, kelebihan satu mata berbanding The Reds. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Virgil Van Dijk, Liverpool, EPL, West Ham