Penerbit JOHORfm meninggal dunia menderita SLE


  • 112
  • Isnin, 08 Nov 2021

PEMERGIAN Allahyarham Junaidah merupakan satu kehilangan besar buat warga kerja JOHORfm. — Facebook JOHORfm

PENERBIT Rancangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Negeri Johor, Junaidah Alahan meninggal dunia tengah malam Isnin akibat penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE).

Junaidah, 48, atau lebih dikenali sebagai KJ, yang turut bertugas sebagai penyampai radio JOHORfm selama 22 tahun, meninggalkan seorang suami dan empat anak berusia 16 hingga 22 tahun.

Suaminya, Mohd Hafiz Hamdan, yang juga pemandu kenderaan di RTM Johor berkata, isterinya meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor pada pukul 12.55 tengah malam.

"Selepas lebih seminggu dimasukkan ke wad HSA, Allahyarham meninggal dunia akibat penyakit SLE yang dihidapi sejak 21 tahun lalu.

"Dia seorang isteri yang terbaik, tidak berkira dan jika ada apa-apa berlaku, kami akan selesaikan bersama, apa pun mungkin ALLAH lebih menyayangi dia,” ujarnya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Penyiaran Johor, Ramlee Johari berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat warga kerja JOHORfm.

"Kita kehilangan pegawai yang dikasihi semua, beliau seorang yang bersopan santun dan selalu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan ikhlas dan amanah serta tidak pernah menolak.

"Saya rasa kita semua harus mencontohi keperibadian beliau, saya harap keluarga Allahyarham terus kuat atas pemergiannya,” ujarnya.

Jenazah Junaidah akan dimandikan dan disembahyangkan di Surau AtTaqwa serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, Johor Bahru. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram