'Sembang jimat RM3 guna Vellfire macam jimat RM30,000'


GAMBAR Toyota Vellfire milik kerajaan yang tular di media sosial baru-baru ini. — Facebook
KEMENTERIAN Kewangan (MOF) pada Sabtu telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan alasan penukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) daripada model Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L dengan menyatakan bahawa ia antara lain dapat menjimatkan perbelanjaan sewaan kenderaan kerajaan.

Kenyataan MOF itu memaklumkan kos sewa bulanan bagi Toyota Vellfire 2.5L adalah lebih rendah, iaitu RM4,851.61 berbanding Proton Perdana 2.4 Premium RM4,854.41.

Perbezaan kos sewaan RM3 antara kedua-dua kereta tersebut menjadi bahan netizen mempersoalkan kembali kerajaan kerana tidak mengutamakan produk keluaran negara selain mengenepikan semangat patriotik dalam menentukan pilihan berkenaan.

perdana 1
TANGKAP layar komen Muhammad Lukman Al Hakim berhubung perbezaan sewa kereta Perdana dan Vellfire. — Facebook


Seorang pengguna Facebook, Muhammad Lukman Al Hakim yang juga seorang jurutera bertauliah berkata, kos sewa bulanan yang cuma berbeza RM3 tidak sepatutnya dijadikan hujah.

Beliau berkata, perbandingan sebaliknya perlu dibuat dari segi kapasiti penumpang, kualiti dan ketahanan, kos keseluruhan serta praktikaliti penggunaan untuk kegunaan rasmi menteri.

"Pada pandangan saya, Toyota Vellfire sememangnya memiliki kelebihan besar berbanding Proton Perdana.

"Cuma kita jangan lupa, Proton masih 'membawa' imej kereta nasional walaupun 49.9 peratus sahamnya milik Geely Auto dan selebihnya milik DRB Hicom," tulisnya di Facebook pada Isnin.

Tambah Muhammad Lukman berkata, dia turut berpandangan bahawa masih ada pemberat bagi kerajaan untuk mengutamakan Proton jika ada model yang mampu menyamai kapasiti penumpang Vellfire.

"Isunya bukan kerajaan ganti Perdana 2.4 Premium dengan Vellfire 2.5L sebagai kenderaan rasmi menteri. Namun bagi saya, isunya ialah alasan dan justifikasi yang diberikan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Zamarul Hasyim pula berkata, "(Nilai penjimatan) RM3 macam RM30,000 jimat."

perdana 3
TANGKAP layar komen Zaara Zia berhubung perbezaan sewa kereta Perdana dan Vellfire. — Facebook


Turut sependapat dengannya ialah pengguna Facebook, Zaara Zia yang menyifatkan pembayar cukai bijak pasti tahu ke mana bahagian cukai yang akan menguntungkan kerajaan dan rakyat jelata.

Menurutnya, pihak kerajaan wajib memberi perhatian penuh kepada produk tempatan negara supaya pengeluaran di kilang-kilang kenderaan dapat berterusan, berkembang dengan lebih kreatif serta dinamik.

"Apabila kita guna jenama keluaran negara kita iaitu keluaran tempatan, bermakna peluang pekerjaan (kilang) dan penyelenggaran (maintenance) terbuka luas untuk rakyat Malaysia.

"Dari segi penyelenggaran kereta tempatan yang juga dipelopori oleh rakyat tempatan sendiri. Kemahiran rakyat kita dapat diasah dan ditingkatkan lagi dalam bidang automotif bagi membolehkan nilai tambah idea automotif akan datang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram