DALAM 17 perlawanan semua pertandingan musim ini, Liverpool bolos dua atau lebih dalam enam perlawanan.
Malah tahun lepas, mereka hanya bolos lebih dua gol dalam sembilan perlawanan sahaja walaupun tidak mempunyai pemain pertahanan tengah senior ekoran krisis kecederaan.
Dalam beberapa perlawanan pada musim ini, sebagai contoh ketika menentang Altetico Madrid, skuad Jurgen Klopp tidak dihukum dengan sewajarnya.
Penalti Mohamed Salah sudah cukup memastikan The Reds mendapat tiga mata berharga walaupun Liverpool bolos dua gol mudah dalam perlawanan getir itu.
Begitu juga ketika Jordan Henderson menyelamatkan Liverpool dengan gol cantik untuk menewaskan AC Milan 3-2 dalam saingan Liga-Liga Juara pada September lalu.
Namun gol yang bolos ketika menentang Brentford, Manchester City, Brighton dan terbaru West Ham, menyebabkan Liverpool kehilangan mata, atau lebih tepat, sembilan mata berharga.
Sejujurnya, corak prestasi yang ditunjukkan Liverpool ketika ini terutamanya di bahagian pertahanan, belum cukup bagus untuk mencabar kejuaraan.
Sudah pastinya penyokong Liverpool kecewa kerana Klopp gagal mengambil peluang untuk menjarakkan kedudukan kepada satu mata dengan Chelsea yang sebelum itu mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Burnley.
Memang tidak dinafikan, beberapa keputusan kontroversi pengadil merencatkan rentak permainan anak buah Klopp tetapi jika Liverpool terus bolos pada setiap perlawanan, corak ini mungkin akan menyebabkan lebih banyak kehilangan mata berharga.
Dengan Chelsea dan Manchester City secara keseluruhannya hanya bolos 10 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada musim ini, dan Liverpool kini sudah bolos 11 gol.
Jika Salah berkemampuan membantu pasukan memenangi perlawanan, dan terbukti dia mampu melakukannya, kini sudah tiba masanya pemain kelahiran Mesir itu mendapat sokongan daripada rakan-rakan lain.
Sekurang-kurangnya, jangan terlalu bergantung kepada Salah dan memberikannya tugas yang sukar.
Jadi bagaimana Klopp dan barisan jurulatih perlu menangani masalah ini?
Rehat perlawanan antarabangsa sekurang-kurangnya boleh memberi ruang dan waktu untuk Klopp mencari penyelesaian.
Di bahagian gol, Alisson Becker dipersalahkan untuk dua gol West Ham dan perlu aksi yang lebih baik untuk mengelakkan gawangnya dibolosi.
Di bahagian pertahanan, Becker dibantu oleh Joel Matip dan Virgil van Dijk yang ada ketika kelihatan 'hilang arah' dengan corak pertahanan tinggi, menyebabkan bek sayap Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold sering terperangkap dalam serangan balas pihak lawan.
Tidak dilupakan, bahagian pertahanan yang dibelenggu krisis kecederaan.
Fabinho dan Henderson merupakan pilihan utama di bahagian tengah tetapi Alex Oxlade-Chamberlain gagal untuk membantu bahagian pertahanan dengan baik.
Thiago Alcantara merupakan pemain terbaik untuk posisi itu kerana kemampuannya mengawal tempo perlawanan dan membantu rakannya mengawal bola, tetapi dia baru pulih daripada kecederaan dan belum cergas sepenuhnya.
Kesimpulannya, kekalahan kepada West Ham bukan salah individu, tetapi satu pasukan. Ini disebabkan corak berisiko yang ditonjolkkan Liverpool, dan jika mereka gagal bertahan dengan baik, ia boleh mengundang padah.
Serangan yang ampuh mungkin boleh membantu memenangi perlawanan, tetapi ia bergantung kepada corak pertahanan jika mahu menang gelaran juara liga. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram