SELEPAS tular kononnya tidak pandai berbahasa Melayu, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying tampil menjelaskan kedudukan sebenar dengan mendakwa mungkin terdapat sedikit masalah teknikal ketika ditemuramah wartawan hingga menyebabkan dia kelihatan seperti tidak faham bahasa kebangsaan itu.
Menerusi satu video lain yang tular di aplikasi TikTok pada Isnin, Hui Ying berkata, dia sebenarnya boleh memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
"Semalam saya ada nampak satu video sudah viral di media sosial mengatakan saya tidak tahu cakap bahasa Melayu.
"Jadi sekarang (dalam video ini) saya nak cakap hai dan ucap thank you (terima kasih), nak kasi banyak orang tahu yang sebenarnya saya tahu bahasa Melayu, mungkin (video) sebelum ini ada sedikit problem (masalah)," katanya.
TANGKAP layar video penjelasan Hui Ying di aplikasi TikTok.
Hui Ying juga berharap agar pengundi di DUN Kesidang tidak salah faham dengan insiden terbabit dan terus menyatakan sokongan dengan mengundinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti.
"Rakyat di DUN Kesidang jangan salah faham, kasi sokongan dan undi saya. Terima kasih," ujarnya.
Majoriti terdahulu melaporkan, sejak Ahad, tular satu video temu ramah Hui Ying kerana tidak pandai berbahasa kebangsaan.
Video tersebut menunjukkan Hui Ying ditemuramah oleh wartawan yang bertanya dalam bahasa Melayu, namun dia menjawab soalan tersebut dengan menggunakan bahasa Inggeris.
Sesekali, Hui Ying juga kelihatan terpinga-pinga apabila diajukan soalan dan terpaksa bertanya kepada orang di sekelilingnya maksud soalan yang ditanya dalam bahasa Cina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram