SKUAD bola sepak bawah 22 tahun (B-22) Malaysia melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, selepas mengikat Thailand seri tanpa jaringan di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar, Mongolia pada Ahad.
Keputusan seri tersebut sudah cukup untuk Harimau Muda mengesahkan tiket ke kejohanan tersebut sebagai juara kumpulan J berbekalkan tujuh mata.
Malaysia sebelum ini mencatatkan kemenangan tipis 1-0, masing-masing ke atas Laos pada Isnin lalu serta Mongolia (Khamis) dan kedua-dua gol itu disumbangkan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.
Thailand yang turun selaku pasukan pilihan, menduduki tempat kedua kumpulan dengan lima mata selepas hanya seri 1-1 menentang Mongolia sebelum menewaskan Laos 3-0.
Laluan Thailand ke kejohanan tersebut dijangka sukar memandangkan empat naib juara kumpulan terbaik sahaja akan dipilih.
Sementara itu, pada perlawanan pagi Ahad yang berlangsung dalam cuaca sejuk mencecah 2 darjah Celcius, kedua-dua pasukan dilihat kebal dan saling berbalas serangan.
Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan negara yang dapat mematahkan kesemua serangan Thailand, sehingga memaksa ketua jurulatihnya, Worrawoot Srimaka melakukan dua pertukaran sebelum minit ke-25 perlawanan.
Skuad kendalian Brad Maloney meraih peluang pertama pada minit ke-17, namun rembatan jarak jauh Ahmad Zikri Khalili melepasi palang manakala sepakan percuma kapten, Muhammad Mukhairi Ajmal pada minit ke-31, tersasar ke kanan penjaga gol Thailand, Kiettipon Udom.
Pada minit ke-37, penyerang sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin melakukan umpanan cantik kepada Azhad Harraz Arman tetapi percubaan mereka tidak tepat selepas digasak benteng pertahanan lawan, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan pada separuh masa pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Malaysia hampir membuka jaringan pada minit ke-62, bagaimanapun tandukkan deras Harith Haiqal Adam hasil daripada sepakan sudut, dinafikan palang gol.
Thailand kemudian menukar corak perlawanan yang menghasilkan beberapa serangan berbahaya termasuklah tandukan Jaturapat Sattham yang hanya sedikit tersasar daripada gawang pada minit ke-70.
Skuad negara juga dikejutkan pada minit ke-85, apabila Korawich Tasa, yang terlepas daripada kawalan pemain pertahanan negara melepaskan rembatan namun berjaya diselamatkan penjaga gawang Malaysia, Muhammad Azri Ghani.
Sejak edisi sulung pada 2013 dan empat kali dianjurkan, Malaysia hanya pernah layak sekali pada edisi 2018 di China yang menyaksikan skuad negara mara sehingga pusingan suku akhir sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan.
Sebanyak 16 pasukan akan beraksi di pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 yang dijadualkan pada 1-19 Jun depan di Uzbekistan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram