Mukhairi ada peluang kekal dalam Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 17 Okt 2021

MUKHAIRI (tengah) langsung tidak menunjukkan rasa gentas ketika beraksi buat kali pertama bersama skuad kebangsaan.

SEMUA orang mendambakan tempat dalam skuad kebangsaan namun tidak semua yang mampu untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Masih ada ramai pemain yang belum diberi peluang dan masa sama sudah ada ‘ubi muda’ bertuah mampu bermain dalam skuad senior negara.

Aksi debut mungkin menjadi detik mengerikan dan setiap pemain yang baharu pertama kali pasti akan dihimpit perasan gementar hingga risau tidak dapat berikan aksi terbaik untuk bantu kemenangan pasukan.

Tiada pemain yang mahu dipalit kekalahan dalam penampilan sulung tetapi pemain muda Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi pantas menutup kekecewaan itu dengan aksi positif dipamerkannya.

Mungkin tidak banyak keajaiban yang mampu dijelmakan ketika menentang pasukan yang lebih kuat seperti Jordan dan Uzbekistan namun prestasi Mukhairi nyata lebih matang berbanding usianya.

Pemain berusia 20 tahun ini pantas memperlihatkan kemampuannya hingga mampu menghadirkan perubahan kepada corak permainan pasukan.

Gandingannya bersama pemain KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin juga nyata memiliki potensi untuk terus dipilih membawa cabaran negara di Piala AFF Suzuki dan Kelayakan Piala Asia 2023.

Ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel turut puas melihat anak buahnya itu yang berjaya memanfaatkan peluang dan mula mengharapkan aksi lebih konsisten mampu dijelmakan Mukhairi.

“Ajmal dan juga banyak pemain muda lain di kelab menunjukan persembahan yang baik sepanjang musim ini. Beliau bermain dengan baik dalam beberapa permainan, sama ada sebagai pemain dalam kesebelasan utama ataupun pemain gantian.

“Saya sangat gembira melihat dia bermain untuk Malaysia kerana setiap pemain ingin bermain untuk negara mereka. Pemain muda sekarang harus berusaha banyak perkara.

“Mereka kena bermain dengan lebih konsisten dan perlu tetap merendah diri. Jika dia terus bekerja keras, saya tidak melihat sebarang kesukaran untuk beliau diseraikan dalam skuad Malaysia," katanya. — Majoriti