SATU video menunjukkan sebuah kereta dipandu secara melawan arus tular di laman sosial Facebook sejak Jumaat.
Dalam video berdurasi 42 saat itu, sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna hitam dilihat memandu di lorong paling kanan secara melawan arah sambil memberikan lampu kecemasan.
Berdasarkan maklumat dikongsi laman Facebook, Traffic Info Crew, kejadian dipercayai berlaku di Lebuh Raya Senai-Desaru arah Tiram, Johor sekitar jam 11.45 malam, pada Jumaat.
Video yang dikongsikan Mdm Zukim itu mendapat reaksi netizen yang menyifatkan tindakan itu sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya lain lebih-lebih kejadian berlaku pada waktu malam.
"Kalau ya pun lawan arus tak payah lah ambik lorong kanan. Aduhh kenapa lah. Kena cepat bertindak ni. Kalau tak nanti berleluasa pula kes macam ni," kata Muhd Faiz Hakimee.
TANGKAP layar komen netizen terhadap video insiden kereta dipandu melawan arah. — Facebook
Seorang lagi pengguna Facebook, Mohd Azmi berkata, pihak berwajib perlu mengenakan tindakan tegas dengan menarik balik lesen atau mengenakan kadar kompaun tinggi.
"Mohon pihak berwajib kenakan tindakan yang amat keras kepada individu seperti ini yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
"Contoh tarik balik lesen, jalani ujian memandu semula, denda tinggi atau penjara," tulisnya.
Sementara itu, polis menerusi satu kenyataan pada Ahad mengesahkan kejadian itu dan sedang giat mengesan pemandu kereta terbabit untuk membantu siasatan di bawah 42( 1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu berjaya dirakam oleh sebuah kenderaan lain dan ia tular di media sosial.
"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam berjaya mengesan pemilik dan pemandu kenderaan terbabit," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram