Ronaldo benar-benar puas benam Spurs


  • Podium
  • Ahad, 31 Okt 2021

RONALDO benar-benar puas dengan kemenangan 3-0 ke atas Spurs awal pagi tadi. — Agensi

CRISTIANO Ronaldo kali ini tampil dengan pujian dan menyifatkan prestasi Manchester United sebagai luar biasa ketika kelab itu menang 3-0 ke atas Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat lawan, awal pagi Ahad.

Pertukaran formasi yang dilakukan Ole Gunnar Solskjaer nyata berfungsi dengan baik dengan menyaksikan Ronaldo, Edinson Cavani dan Marcus Rashford masing-masing menghasilkan satu gol untuk mengesahkan mata penuh buat The Red Devils.

“Kami tahu sebelum perlawanan, kami berdepan minggu yang sukar dengan meraih keputusan luar jangkaan.

“Pasukan berada di bawah tekanan, ia memang sedih namun kami tahu kami mampu berikan jawapan dengan baik. Kami bermain dan memulakan perlawanan dengan bagus.

“Sudah pasti tugas saya adalah bantu pasukan dengan pengalaman, jaringan, bantuan gol dan semuanya saya lakukan dalam perlawanan ini.

“Saya gembira dengan situasi ini. Tetapi daripada sudut pasukan, pendapat saya ia adalah sesuatu yang menakjubkan,” kata Ronaldo.

Ini kali pertama Ronaldo memberikan kenyataan selepas berdepan kekecewaan ekoran kekalahan kepada Liverpool dan bintang Portugal itu akui yang ia menjadi tempoh yang cukup sukar.

Ronaldo menjelaskan, adalah sesuatu yang normal untuk merasai tekanan jika mengambil kira status Man United.

“Kecaman akan sentiasa ada. Bagi saya, ia tidak menganggu kerana saya sudah pun bermain bola sepak selama 18 tahun.

“Saya tahu akan ada satu hari, orang mengatakan kamu sempurna dan begitu juga sebaliknya.

“Ia sukar. Kami tidak jangkakan keputusan sebelum ini tetapi saya harap kali ini kami dapat beralih dan buka buku baharu.

“Saya percaya sesuatu yang berlaku adalah bersebab dan kami perlu berasa gembira dengan keputusan berdepan Spurs. Kami menang 3-0 di gelanggang lawan.” — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram