MARCUS Rashford percaya kemenangan 3-0 Manchester United ke atas Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Ahad adalah hasil kerja keras di padang latihan yang membolehkan mereka melaksanakan taktikal pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.
Solksjaer membuat perubahan pada formasi pasukan, bertukar daripada 4-2-3-1 kepada 3-4-1-2 yang diketuai oleh gandingan penyerang Cristiano Ronaldo dan Edinson Cavani.
Kedua-dua penyerang itu berjaya meledak jaringan untuk memberikan Man United kelebihan dua gol ke atas Spurs sebelum Rashford keluar dari bangku simpanan untuk memastikan kemenangan The Reds Devils selepas dibelasah Liverpool minggu lalu.
"Ia adalah minggu yang sukar," akui Rashford kepada media kelab selepas perlawanan.
"Satu-satunya cara untuk bertindak balas adalah untuk memenangi perlawanan dan mendapatkan tiga mata. Saya fikir kami melakukannya dengan baik hari ini tetapi juga cara kami melaksanakan rancangan pengurus adalah benar-benar terbaik.
“Kami sentiasa berhubung sepanjang perlawanan, walaupun apabila ia sedikit mengendur menjelang penghujung aksi, kami kekal sebagai satu unit dan menyukarkan Spurs untuk menjaringkan gol.
"Menentang pasukan yang mempunyai ramai pemain berkualiti seperti Spurs, anda perlu sentiasa efektif pada setiap masa dan saya fikir pemain di pertahanan cemerlang melakukan perkara itu sebelum pemain tengah membuat perubahan lalu penyerang menjaringkan gol."
Rashford menjelaskan bahawa beberapa hari tanpa perlawanan menyukarkan Man United membuat persiapan yang sempurna.
"Kami mempunyai seminggu penuh untuk bersedia.
“Ia agak luar biasa bagi kami tidak mempunyai perlawanan pertengahan minggu, tetapi saya fikir kami memanfaatkan segala-galanya dengan hebat.
“Kami perlu melupakan aksi buruk menentang Liverpool dan kadangkala ia boleh mengambil masa beberapa hari, dan hanya fokus sepanjang minggu untuk bermain menentang Tottenham, jadi saya fikir kami berhak meraih tiga mata.
"Saya fikir ia adalah persembahan yang yakin, kami bertahan dengan baik, kami kompak, kami kekal padat. Perkara utama ialah kami semua bersama di atas padang," kata Rashford.
Meskipun menang ke atas Spurs, tekanan terhadap Solksjaer masih belum reda apabila bakal berdepan Atalanta dalam aksi Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu sebelum berdepan Man City dalam aksi EPL minggu depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram