“PEMAIN daripada pasukan lain wajar buktikan bukan semua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) layak mewakili pasukan kebangsaan.
Itu pandangan penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli yang tidak mahu Harimau Malaya terlalu bergantung kepada ‘aset’ pemain dimiliki JDT.
Daripada satu sudut, jika pemain daripada JDT beraksi dalam skuad kebangsaan, ia akan memudahkan jurulatih kerana kebanyakannya sudah serasi bersama.
“Memang saya setuju kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pemain JDT. Daripada segi kelebihan, pemain JDT sudah terbiasa bermain bersama dan patut itu menjadi kekuatan.
“Pemain lain juga kena cuba merebut tempat jika diberi peluang. Tetapi setiap pemain harus berikan segala-galanya apabila bersama pasukan kebangsaan.
“Pemain daripada pasukan lain juga perlu buktikan yang mereka ada kemampuan berada dalam pasukan kebangsaan. Apabila dapat peluang, lupakan perkara lain dan cuba beri sehabis baik.
“Orang kata kalau boleh biar mati dalam padang,” katanya kepada Majoriti.
Sebelum ini, legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berpendapat bahawa skuad negara bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe, tidak boleh sentiasa bergantung kepada khidmat pemain JDT.
Saranan dilontarkan bekas pemain pertahanan Pahang itu susulan terdapat jurang prestasi antara pemain sering diberi kepercayaan menyarung jersi negara dan barisan pemain baharu.
Mengulas mengenai impak yang diberikan pemain naturalisasi negara, Pekan merasakan apa yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini adalah gagal.
Dengan hasil yang dipamerkan pemain naturalisasi ketika ini, ia seolah memberikan peluang kedua kepada ‘barang lama’ untuk kecap peluang beraksi bersama pasukan kebangsaan.
“Kita belum sedia untuk ada pemain naturalisasi dan kalau kita lihat pemain naturalisasi yang kita ada sudah pun berada di hujung karier.
“Kalau jumpa pasukan Asia Tenggara mungkin mereka (pemain naturalisasi) boleh tapi kalau jumpa pasukan lebih kuat, mungkin mereka tidak mampu menandinginya.
“Dalam hal ini, FAM kena ubah perancangan untuk cari yang lebih muda. Kalau beri peluang kepada pemain yang sudah berusia, lebih baik kita berikan peluang itu kepada pemain muda kita sendiri,” katanya. — Majoriti