PEMAIN yang beraksi di kelab divisyen lima Jerman, SGV Freiburg, Annil Vigneswaran baru-baru ini menjadi pertikaian para peminat bola sepak tempatan selepas namanya terpilih dalam skuad B-22 kebangsaan bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia.
Para peminat mempertikaikan kemampuan pemain berusia 18 tahun itu yang tidak beraksi langsung bersama pasukan B-19 Freiburg dalam saingan liga Jerman musim ini.
Malahan, ada peminat yang turut mempersoalkan tindakan Maloney yang tidak menyenaraikan pemain tempatan lain berbanding Vigneswaran dalam skuad kali ini.
Bagaimanapun, ketua jurulatih B-22 kebangsaan, Brad Maloney tampil mempertahankan pemilihan Vigneswaran dalam skuad Harimau Muda.
"Berhubung isu Vigneswaran, barisan kejurulatihan sebenarnya lama memantau perkembangan dan prestasinya. Bukan kita tak tengok langsung dan terus tiba-tiba meletakkan nama dia dalam senarai 23 pemain ke Mongolia ini.
"Penolong jurulatih, Khan Hung Meng pernah melatih pemain ini sebelum dia ke Jerman beberapa tahun yang lalu dan dia dilihat sebagai seorang pemain yang berbakat besar dan sejak itu, prestasinya sudah pun mula dipantau," katanya.
Tambah Maloney, Vigneswaran pernah pulang ke Malaysia pada Disember tahun lalu untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan tetapi malangnya kem latihan pusat pada masa itu tidak dapat dijalankan kerana Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2021 dibatalkan.
"Tapi sejak dari itu, kami sentiasa memantau perkembangan prestasinya di Jerman dan berdasarkan video dan maklum balas yang diterima, cukup positif.
"Keputusan sudah dibuat dan dia juga boleh bermain di beberapa posisi, seorang pemain yang versatil dan boleh menjadi aset kepada pasukan. Kami barisan kejurulatihan berasakan yang dia mampu memberi sumbangan kepada pasukan pada saingan kelayakan ini," jelasnya pada Khamis.
Vigneswaran yang beraksi di posisi pertahanan tengah itu berkemungkinan membentuk gandingan bersama pemain Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar sekiranya diturunkan kelak.
Bagi Vigneswaran, ini adalah peluang yang terbaik untuk dirinya menonjolkan kebolehannya di hadapan ribuan peminat bola sepak tempatan.
Skuad bimbingan Maloney bakal berdepan Laos (25 Oktober) diikuti tuan rumah, Mongolia (28 Oktober) dan aksi terakhir menentang Thailand (31 Oktober) bagi merebut tiket ke kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram