GOLONGAN pengembara muda kini dilihat memainkan peranan utama dalam membentuk perancangan percutian keluarga, menurut Laporan Trend 2025 Hilton.
Laporan itu menunjukkan bahawa Generasi Z dan Alpha di rantau Asia Pasifik bukan lagi sekadar mengikut percutian keluarga, sebaliknya turut terlibat secara aktif dalam merancang perjalanan tersebut.
Dapatan ini berdasarkan dua tinjauan, iaitu kajian global oleh Ipsos yang dijalankan pada Jun tahun lalu, serta kajian khusus Asia Pasifik oleh OnePoll yang dilaksanakan pada Ogos 2024.
BACA LAGI: Ukay Hills estet lereng bukit kontemporari, penuhi permintaan dan keperluan gaya hidup moden
Tinjauan Ipsos mengumpulkan maklum balas daripada 13,001 orang dewasa berusia 18 tahun ke atas di 13 negara — Australia, Brazil, China, Jerman, India, Jepun, Mexico, Arab Saudi, Singapura, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu, Britain dan Amerika Syarikat — yang merancang untuk melancong dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Bagi memahami trend percutian keluarga dengan lebih mendalam, kajian OnePoll pula memfokuskan kepada 8,000 ibu bapa daripada Generasi Z dan Milenial di Australia, China, India, Jepun dan Singapura, melibatkan keluarga yang mempunyai anak berusia antara enam hingga 19 tahun.
Berdasarkan data yang dikumpulkan, jelas bahawa golongan pengembara muda mempunyai pengaruh besar terhadap perancangan percutian keluarga.
Trend ini turut disokong oleh Laporan Trend Perjalanan Pra-Cuti Airbnb.
Pengembara Generasi Z di Malaysia didapati membuat carian di platform perkongsian penginapan itu 25 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu, menunjukkan merekalah yang banyak melakukan penyelidikan mengenai lokasi penginapan keluarga semasa bercuti.
Selain menempah penginapan, Hilton mendapati golongan pengembara muda ini turut memilih aktiviti serta menyusun jadual perjalanan.
Dalam satu kenyataan media, Airbnb mendedahkan bahawa pengembara Malaysia mengutamakan kemudahan dan kemampuan harga. Ramai memilih untuk meneroka destinasi tempatan, termasuk Genting Highlands (Pahang), Port Dickson (Negeri Sembilan), Melaka dan Kota Kinabalu, Sabah, yang kini semakin popular dalam kalangan pelancong.
Bagi ramai pengembara muda, melancong bukan sekadar rehat daripada rutin harian, sebaliknya satu medium untuk pembelajaran dan penemuan diri.
Di rantau Asia Pasifik, lebih separuh responden melihat perjalanan sebagai peluang untuk meningkatkan pendidikan serta pembangunan peribadi.
Berdasarkan laporan trend Hilton, golongan muda turut melancong untuk tujuan hiburan seperti konsert dan teater muzikal, acara sukan termasuk maraton dan bola sepak, serta aktiviti pengembaraan seperti mendaki, trekking dan meluncur ombak.
Pelancongan sukan kini menjadi tarikan utama di peringkat global, dengan acara seperti Kejohanan Dunia Ping Pong dan Piala Dunia FIFA mempengaruhi perancangan percutian 35 peratus pengembara muda di Asia Pasifik.
Sementara itu, kira-kira 34 peratus pengembara muda tertarik kepada acara serta penginapan berasaskan alam semula jadi, manakala 26 peratus pula meminati festival muzik, khususnya konsert K-pop.
Secara keseluruhan, 92 peratus pengembara muda di rantau ini dilaporkan telah melakukan sekurang-kurangnya satu perjalanan dalam tempoh setahun lalu, dengan pelancong dari China, India dan Singapura mendahului pada purata dua hingga tiga perjalanan setahun. — The Star/ GISELE SOO
