TERENGGANU sekali lagi bakal mencuri tumpuan dunia sukan lasak apabila pasukan 'underdog' GG 4x4 mengesahkan penyertaan mereka untuk berentap selama 10 hari perlumbaan ekstrem pacuan empat roda paling berprestij dunia, Rainforest Challenge (RFC Grand Final).
Acara itu dijadualkan bermula pada hujung minggu ini di Sungai Buloh, Selangor dan berakhir di Gua Musang, Kelantan pada Disember nanti.
Mempertaruhkan jentera Land Rover Defender Series 3 88 yang dipacu oleh Tengku Khairul A Rahman bersama juruarah Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili, pasukan mereka optimis untuk meraih gelaran podium, sekali gus mengakhiri musim perlumbaan buat pasukan yang berpangkalan di kampung Binjai Bongkok, Marang itu.
BACA LAGI: Pastikan pilih menu 'warna-warni' sayur, kekacang dan buah antara 8 tip gaya hidup sihat
BACA LAGI: Sedulur Sekampung: Penduduk Shah Alam bina 'kampung kota', pupuk semangat komuniti setempat

Ahli pasukan GG 4x4 bersama pengarah Tourism Terengganu Hilman Hajijan (tengah berbaju batik) sewaktu menyempurnakan majlis 'flag-off' yang telah berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.
"Kami hanya pasukan kerdil. Ahli pasukan ini pun bukanlah semuanya berstatus profesional atau pun sepenuh masa. Namun kami tetap yakin dan mampu untuk hadir memberi cabaran kepada pelumba-pelumba antarabangsa yang turut sama memburu kejuaraan di sini.
"Kami mengambil peluang dan Malaysia selaku tuan rumah bagi siri akhir perlumbaan RFC ini sudah tentu cabaran dari segi bentuk muka bumi itu menjadi kelebihan buat pasukan-pasukan tempatan untuk berentap.
“Namun situasi cuaca tidak menentu ketika ini bakal memberi peluang sama rata buat setiap pasukan bertanding," ujar Tengku Khairul A Rahman.
Manakala bagi juruarah Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili, 22, meletakkan faktor usia bukan penghalang untuk turut sama membantu pasukan memburu podium bagi sukan lasak tersebut.
"Ini adalah penampilan pertama saya sebagai jurupandu di pentas RFC ini, sudah tentu perasaan berdebar itu tetap ada untuk bersaing dengan mereka yang lebih banyak pengalaman berbanding saya di pentas antarabangsa ini.
"Saya hadir mempertaruhkan pengalaman saya selama ini untuk bermula dari bawah bersama pasukan sehinggalah kali ini diberi kepercayaan. Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan dan ingin berterima kasih kepada pengurusan pasukan yang memberi peluang serta kepercayaan ini.," ujar Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili.

Land Rover Defender Series 3 88 menjadi jentera taruhan pasukan GG 4x4 dari Terengganu bagi memburu podium kejuaraan edisi ke-29 Rainforest Challenge(RFC Grand Final 2025).
Misi memburu podium di pentas antarabangsa ini turut disokong oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu), sebagai usaha untuk mengangkat sukan permotoran sebagai salah satu produk pelancongan negeri berkenaan.
Menurut, Pengarah Tourism Terengganu, Hilman Hajijan, sukan permotoran mempunyai prospek yang seharusnya dijadikan salah satu produk pelancongan di negeri ini apatah lagi dengan penyertaan pasukan-pasukan dari negeri ini ke pentas antarabangsa.
Ia mampu menjadi duta pelancongan negeri sebagai usaha menarik lebih ramai kehadiran pelancong khususnya pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Sudah tentu usaha ini tidak hanya eksklusif kepada kami sebagai pemegang taruh utama pelancongan negeri. Melalui kerjasama strategik dengan lain-lain pihak termasuk pasukan GG 4x4 ini mampu untuk diterjemahkan dalam pulangan pelaburan buat setiap pihak," ujarnya.

Malaysia menjadi destinasi terakhir bagi setiap pelumba untuk menamatkan kejuaraan musim ini.
Memasuki edisi penganjuran tahun ke-29 sejak 1997, Rainforest Challenge, mencatatkan lebih daripada 30 buah negara telah menjadi tuan rumah.
Sepanjang tahun ini, Turkeye, Jepun, Colombia, Poland dan India merupakan di antara negara yang menjadi tuan rumah dan seterusnya, Malaysia menjadi destinasi terakhir bagi setiap pelumba untuk menamatkan kejuaraan musim ini.
Cabaran pertama perlumbaan dijadualkan bermula pada Sabtu ini bagi acara 'Prologue SS', bertempat di Lembah Peladang Agro Park, Sungai Buloh, Selangor, sebelum menempuh perjalanan ke Gua Musang, Kelantan pada 1 Disember nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
