Hampir RM40 juta milik 3 beradik selepas temui komik 'Superman' edisi sulung terbitan 1939 di loteng rumah


  • Hobi
  • Khamis, 27 Nov 2025

Komik tersebut menerima penarafan 9.0 daripada 10 oleh syarikat penggredan komik CGC.

SEBELUM munculnya adiwira ikonik dunia seperti Superman, Batman. Spiderman dan seumpamanya, watak-watak seperti ini kebanyakannya berasal daripada sebuah terbitan bahan bacaan berbentuk komik.

Selepas bertahun-tahun karakter ini wujud, sudah banyak edisi telah dikeluarkan mengikut peredaran zaman.

Baru-baru ini salinan edisi pertama komik Superman telah ditemui oleh tiga beradik ketika membersihkan loteng rumah mendiang ibu mereka, berjaya dijual pada harga AS$9.12 juta (kira-kira RM38 juta) bulan ini.

BACA LAGI: Pastikan pilih menu 'warna-warni' sayur, kekacang dan buah antara 8 tip gaya hidup sihat

BACA LAGI: GG 4x4 wakil Terengganu ke kejohanan dunia RFC Grand Final 202

 

A view of a DC Comics, Superman No. 1 issue is shown Monday, Nov. 24, 2025, in Irving, Texas. (AP Photo/Tony Gutierrez)

Gred yang diberikan untuk komik berkenaan 9 daripada 10.

Tawaran tersebut berlaku di sebuah rumah lelongan di Texas, Amerika Syarikat, dan ia adalah buku komik paling mahal pernah dijual.

Ketiga-tiga beradik itu menemui komik tersebut di dalam sebuah kotak yang tersembunyi di bawah lapisan surat khabar lama yang berhabuk dan bersawang di rumah ibu mereka di San Francisco tahun lepas.

Ini termasuk beberapa komik rare lain yang dikumpul oleh ibu dan adik-beradiknya pada akhir era sebelum Perang Dunia Kedua.

Menurut Naib Presiden Bahagian Komik di Heritage Auctions, Lon Allen, ibu tiga beradik itu pernah memberitahu bahawa dia memiliki koleksi komik bernilai tinggi yang disimpan rapi.

Namun anak-anaknya tidak pernah melihatnya sehingga mereka mahu menjual rumah tersebut dan memutuskan untuk memeriksa barang-barang yang tersimpan di loteng rumah itu.

Sejurus melihat kotak komik itu, keluarga berkenaan terus menghubungi syarikat lelong tersebut, menyebabkan Allen segera terbang ke San Francisco awal tahun ini untuk memeriksa komik Superman No. 1 itu, sambil menunjukkannya kepada pakar lain untuk dinilai.

“Ia berada di loteng, tersimpan dalam sebuah kotak, yang boleh sahaja dibuang atau musnah dalam pelbagai cara. Ramai yang teruja kerana ia menggabungkan semua faktor yang diidamkan dalam dunia pengumpulan komik,” kata Allen.

Komik Superman No. 1, diterbitkan pada 1939 oleh Detective Comics Inc., merupakan salah satu daripada beberapa naskah yang masih wujud dan berada dalam keadaan yang sangat baik.

“Man of Steel ialah superhero pertama yang memasuki budaya pop, menjadikan nilai komik itu lebih tinggi dalam kalangan pengumpul. Ditambah pula dengan kisah penemuannya yang luar biasa ini,” ujarnya.

Rekod komik termahal dunia sebelum ini dicatatkan tahun lepas apabila Action Comics No. 1 yang memperkenalkan Superman buat pertama kali sebagai sebahagian daripada antologi.

Ia dijual pada harga AS$6 juta (RM25 juta) dan pada 2022, satu lagi komik Superman No. 1 dijual pada harga AS$5.3 juta (RM22 juta).

Sebuah iklan dalam komik itu membantu pakar mengenal pasti bahawa naskhah tersebut berasal daripada cetakan pertama sebanyak 500,000 salinan Superman No. 1. 

Ketika ini, pakar menganggarkan kurang daripada 500 naskhah edisi tersebut masih wujud.

 

A view of a DC Comics, Superman No. 1 issue is shown Monday, Nov. 24, 2025, in Irving, Texas. (AP Photo/Tony Gutierrez)

Allen terbang ke San Francisco awal tahun ini untuk memeriksa komik Superman No. 1 tersebut.

 

Salinan itu tidak disimpan dengan kaedah khas, namun cuaca sejuk di California Utara membantu ia daripada rosak, sekali gus menjadikan komik itu masih kelihatan kukuh, warna terang dan sudut yang tajam.

Menurut kenyataan Heritage Auctions yang berpangkalan di Dallas, komik tersebut menerima penarafan 9.0 daripada 10 oleh syarikat penggredan komik CGC, menandakan ia hanya mempunyai kesan haus dan penuaan yang sangat minimum.

Tiga beradik itu, yang berada dalam lingkungan usia 50an dan 60an, tidak mahu mendedahkan identiti masing-masing kerana melibatkan jumlah wang yang besar, begitu juga pembeli komik tersebut.

“Ini bukan sekadar kisah tentang kertas dan dakwat lama. Ini bukan hanya mengenai koleksi. Ia adalah bukti tentang kenangan, keluarga dan cara yang tidak dijangka bagaimana masa lalu kembali kepada kita,” kata salah seorang daripada mereka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh rumah lelong tersebut. —The Star

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram