
MENDAPAT keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pastinya impian setiap pelajar.
Kejayaan itu juga mencerminkan usaha, kegigihan dan dedikasi pelajar dalam menempuhi cabaran sepanjang tempoh lima tahun menuntut ilmu.
Justeru, pelajar yang mencapai keputusan cemerlang perlu dihargai dan dijadikan contoh teladan kepada masyarakat.
Meneliti di sebalik kejayaan itu, seorang pelajar, Siti Raffieqqah Mohammad Rizal, 18, dengan keputusan 11A dalam SPM 2024/2025 berkata, mata pelajaran mencabar bukan penghalang buatnya untuk berjaya.
BACA LAGI: 'Bahasa saya dan bangunan sama', Harbia wanita pertama ketuai projek pulih semula kota warisan Yaman
Siti Raffieqqah antara pelajar cemerlang SPM dengan keputusan 11A.
Pelajar Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah, Tangkak, Johor itu bersyukur dapat menamatkan zaman persekolahan dengan cemerlang.
Katanya, fokus dan emosi antara elemen penting yang perlu sentiasa dijaga sepanjang menghadapi peperiksaan agar tidak tersasar jauh.
Bukan itu sahaja, subjek utamanya juga banyak membantunya mendekatkan diri dengan Sang Pencipta sekali gus diterapkan dalam amalan harian.
"Selain apa yang saya belajar dan usaha di sekolah, doa daripada ibu bapa dan guru juga sangat penting.
"Saya selalu amalkan buat qiamullail dan tak semestinya pukul 2 atau 3 pagi. Boleh juga buat pukul 5.30 pagi sehingga sebelum Subuh.
"Bagi saya, untuk senang belajar memang perlu elakkan perkara maksiat, jaga makan dan jangan ambil makanan segera," katanya kepada Majoriti.
Kongsi anak sulung daripada lima beradik itu, prestasi dan pencapaiannya ketika di Tingkatan 4 tidaklah konsisten jika mahu dibandingkan pada waktu menjelang SPM.
Katanya, dia juga seorang yang mudah tertekan disebabkan tekanan peperiksaan dan tanggungjawab perlu disandangnya iaitu jawatan Penolong Ketua Pengawas dan guru muda untuk membimbing rakan sebaya.
"Sebelum ini, saya memang mudah tertekan sebab perlu banyak menghafal. Saya juga kerap demam, batuk dan semput.
"Tetapi, Alhamdulillah dengan sokongan ibu bapa dan juga kawalan makanan sambil makan vitamin tambahan daripada Eskayvie Mindtropic, saya lebih fokus.
"Saya juga mampu menghafal surah satu muka surat dalam masa dua hari jika nak dibandingkan sebelum itu yang ambil masa seminggu," jelasnya.
Siti Zahrah (kanan) bersama anaknya.
Melihat kejayaan anaknya itu, Siti Zahrah Salihan, 47, berharap agar ia dapat menjadi pemangkin semangat buat adik-beradiknya lain termasuk golongan muda di Malaysia.
Katanya, jalinan atau hubungan baik antara ibu dan anak amat penting agar tidak menggangu emosi sepanjang menuntut ilmu.
"Siti Raffieqqah satut-satunya anak perempuan dan selalunya kami akan ada aktiviti yang selalu buat bersama. Disebabkan dia duduk di asrama dan bila balik akan memasak.
"Kami berdua juga selalu bertaranum bersama di rumah supaya Siti boleh kekalkan momentum untuk subjeh hafzannya," jelasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar cemerlang dengan keputusan 9A, Nuraina Qistina Mohammad Rizal, 18, turut berkongsi perasaan yang sama.
Berbeza dengan Siti Raffieqqah, Nuraina mengambil subjek sains tulen di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sains Kuala Selangor, Selangor.
Menurutnya, perjalanan untuk mencapai keputusan itu tidaklah semudah yang disangka.
Nuraina Qistina yang berjaya mendapat keputusan 9A.
"Sebenarnya saya pernah berada di titik terendah waktu percubaan SPM dan disebabkan jarak masa singkat dengan peperiksaan sebenar membuatkan ia lebih mencabar.
"Kami semua pelajar SPM cuma ada masa dua bulan sahaja selepas percubaan dan ketika itu keputusan saya agak mengecewakan.
"Tetapi, saya bangkit semula perlahan-lahan, mula fokus semula, konsisten walaupun ada tekanan," ujarnya.
Ceritanya lagi, impiannya untuk ke menyambung pengajian dalam bidang pembinaan bangunan di Jepun menjadi penguat semangatnya untuk terus berusaha.
Ditanya pula tentang tip memahami subjek yang dipelajarinya, Nuraina berkata, belajar dalam satu kumpulan membantunya untuk lebih mengingati apa yang dibacanya.
"Setiap petang kalau ada masa lapang selain kelas tambahan, saya juga buat jadual belajar sendiri.
"Saya selalu belajar di dengan dengan kawan-kawan dan juga jadi guru muda kepada mereka supaya saya boleh asah fikiran saya sebelum ajar mereka," ujarnya.
Sama seperti ibu di luar sana, Norlaila Ismail, 43, meluahkan keterujaan dan kegembiraannya selepas menyaksikan kegigihan Nuraina untuk membanggakan keluarganya.
Sokongan Norlaila (kanan) dan suami (kiri) kepada anaknya.
Sebagai ibu, Norlaila tidak memberi tekanan atau memaksa anak sulungnya untuk mendapat keputusan sedemikian.
"Saya selalu pesan 'kakak, awak dah masuk sekolah ini pun satu progres baik, sekarang awak perlu gembira dan sihat'.
"Saya dan suami pun memang selalu sokong minat dia dan kami daftarkan Nuraina ke Jepun," katanya.
Norlaila pada masa sama sempat berkongsi pandangan terhadap luahan sesetengah pelajar SPM yang tidak mendapat keputusan cemerlang yang beranggapan bahawa ia bukan perkara utama dilihat terutama ketika masuk dalam dunia pekerjaan.
Baginya, setiap individu berhak menimba ilmu tidak kira sehingga ke peringkat menara gading atau sekolah.
"Sebagai orang Islam, saya percaya ilmulah yang akan dapat sanjung untuk kita jadi manusia bermanfaat. Kalau kita lihat pempengaruh sekarang pun berilmu dan ada sijil pelajaran peringkat tertinggi.
"Tetapi, kita juga tak boleh nak salahkan mereka kerana mungkin ada yang terpaksa tempuh hidup penuh dengan cabaran.
"Cuma apa yang kita boleh lakukan adalah doakan mereka untuk dipermudahkan urusan menimba ilmu," jelasnya.
Kedua-dua pelajar tersebut antara lebih 50 pelajar yang diraikan oleh Eskayvie Sdn Bhd dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Eskayvie Mindtropic di Shah Alam, Selangor pada 10 Mei lalu.
Majlis itu diadakan bagi mengiktiraf kejayaan para pelajar serta menghargai usaha gigih ibu bapa yang menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak mereka.
Anugerah Pelajar Cemerlang Eskayvie Mindtropic tahun ini menampilkan dua kategori utama iaitu Pelajar Semua A bagi pelajar yang memperoleh semua subjek A dalam peperiksaan SPM dan Peningkatan Cemerlang bagi pelajar yang menunjukkan peningkatan gred ketara berbanding peperiksaan percubaan.
Dalam majlis sama, seramai lebih 50 pelajar dari seluruh negara dengan latar belakang berbeza mencerminkan komitmen Eskayvie bagi memastikan setiap anak Malaysia mendapat peluang meningkatkan kecerdasan minda tanpa diskriminasi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Duta Eskayvie, Datuk Aznil Haji Nawawi, yang tampil menyuntik semangat kepada pelajar dan ibu bapa, memberikan inspirasi serta sokongan penuh terhadap Kempen Booster Minda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram