'Bahasa saya dan bangunan sama', Harbia wanita pertama ketuai projek pulih semula kota warisan Yaman


Harbia merupakan jurutera wanita pertama yang mengetuai projek pembinaan semula bangunan bersejarah di bawah UNESCO sekitar 2024. — Agensi

SEBELUM hancur dibedil rejim Zionis, ibu kota Yaman, Sana'a merupakan antara bandar Islam yang indah dengan pelbagai struktur bangunan bersejarah.

Bandar tersebut juga dipelihara dalam Senarai Wakil Warisan Budaya UNESCO di bawah projek Unit Warisan Budaya Pihak Berkuasa Bandar Bersejarah dan turut disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tiga tahun lalu.

Namun, di sebalik kemegahan dan keutuhan bangunan-bangunan bersejarah itu, terdapat seorang jurutera wanita yang bertungkus-lumus memelihara seni bina di bandar tersebut.

BACA LAGI: 'Bau itu, bau abah', wanita imbau kenangan mi goreng daging bungkus surat khabar

BACA LAGI: [VIDEO] Alunan al-Quran tenangkan pemandu di India elak dikejar sekumpulan perompak menyorok dalam semak

Ibu kota Yaman yang penuh dengan bangunan bersejarah. — Agensi

Menyimpan impian sejak kecil, Harbia Al-Himiary antara wanita yang berjaya memecahkan streotaip jantina dalam bidang kejuruteraan untuk menjaga warisan ibu kota Yaman.

Dilahirkan di bandar Sana'a, Harbia menjadi wanita pertama memegang jawatan sebagai pengurus projek pembinaan di negara itu.

Wanita berusia 38 tahun itu juga secara tidak langsung memberi nafas baharu buat seluruh penduduk di Yaman.

Hal ini kerana, majoriti masyarakat di Yaman dikatakan terlalu konservatif iaitu kaum wanita membentuk kumpulan minority terutama aspek tenaga kerja, bidang pertanian, perkhidmatan dan perniagaan.

Disebabkan itu, Harbia nekad untuk mengubah persepsi sedemikian dan membuktikan bahawa dirinya mampu membawa perubahan dalam industri pembinaan.

Meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kemusnahan bandar akibat konflik Israel-Palestin dan serangan berterusan sejak 7 Oktober 2023, Harbia tetap berusaha membantu membina semula serta mengubahsuai bangunan-bangunan yang musnah.

Tindakannya itu dirasakan lebih tepat apabila Harbia mula mengembara dari Sana'a ke Zabid, Yaman yang musnah sepenuhnya, tanpa dinding, bumbung dan berisiko.

Harbia (kanan) yang mengetuai projek pembinaan semula bangunan bersejarah di lokasi terjejas. — Agensi

Antara tugas terbesarnya adalah perlu mencari bahan yang diperlukan untuk memulihkan bangunan di lokasi tersebut.

Menurutnya, proses membaiki dan mengganti bumbung sahaja mengambil masa tiga bulan selain perlu sentiasa memastikan agar bangunan itu tidak runtuh sementara menunggu bahan diimport dari Arab Saudi.

Malah, kerja-kerja persediaan juga sangat berbahaya.

Mereka perlu melakukan imbasan 3D untuk menilai sejauh mana kerosakan bangunan dan Harbia pada mulanya menggunakan dron namun, disebabkan perang berterusan, dia perlu mendapatkan kebenaran untuk menggunakannya.

Penggunaan dron juga berisiko dan berbahaya buat Harbia dan pasukannya Ketika itu.

"Terdapat juga masalah kekurangan tenaga kerja khususnya mereka yang pakar dalam mengusahakan bangunan bersejarah.

"Golongan muda tidak mengekalkan kemahiran pembinaan tradisional. Mereka menganggap bahawa ia bukanlah kerjaya yang sesuai untuk mereka," katanya.

Semangat Harbia (tengah) memberi inspirasi kepada penduduk wanita di bandar Sana'a. — Agensi

Namun, ia tidak menjadi penghalang buatnya dan Harbia bertindak mengetuai pasukan seramai 24 orang dan telah membantu melatih 211 jurutera serta pakar tukang dan separuh daripadanya adalah wanita.

"Saya terkejut dengan bilangan wanita yang ingin berlatih dalam bidang tradisional lelaki.

"Walaupun berdepan cabaran dan kepayahan, saya reda dengan kerja ini.

"Di sebalik segala dilalui, dengan kerja saya dapat membantu mengekalkan sejarah dan warisan negara ini," katanya.

Projek yang dilaporkan siap pada hujung 2024 itu sekali gus memberi sinar dan harapan kepada seluruh rakyat Yaman.

"Terdapat bahasa yang sama antara saya dan bangunan.

"Di setiap rumah saya cuba pelihara. Saya rasa bandar itu berterima kasih kepada saya dan saya berterima kasih kepada bandar itu kerana ia telah banyak mengajar saya," jelasnya.

Harbia pada masa sama menekankan bahawa tiada perbezaan antara lelaki atau wanita dalam hal memelihara bandar bersejarah.

Kini, projek dan latihan berkaitan bidang kejuruteraan semakin banyak disertai oleh wanita sehingga mencecah peratusan sama rata dengan kaum lelaki di kota itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram