[VIDEO] TERKINI: Nahas Teluk Intan: Pemandu lori FRU meninggal dunia ketika dirawat di hospital, pemandu lori batu tak cedera


  • 112
  • Selasa, 13 Mei 2025

Nahas yang mengorbankan sembilan anggota FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di Teluk Intan, Perak pagi Selasa. — JBPM Perak

PEMANDU lori yang terbabit dalam kemalangan dengan lori membawa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di Teluk Intan, Perak pagi Selasa, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon mengesahkan pemandu trak yang membawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Sayani dilaporkan berkata, jumlah sebenar anggota polis FRU di dalam trak semasa kejadian ialah 18 orang.

BACA LAGI: [VIDEO] Nahas lepas Ops Chariot, 9 anggota FRU maut bertembung lori muatan batu di Teluk Intan

BACA LAGI: Polis siasat kemungkinan Pamela Ling lari ke luar negara, nafi suspek lain terlibat

Sementara itu, polis menahan pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan jalan raya maut membabitkan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pemandu lori membawa muatan batu berusia 40-an itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pemandu tersebut sudah ditahan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca dan untuk kita mengumpul maklumat lanjut yang boleh membantu kes itu.

"Sebagai daripada prosedur awal, kami menjalankan ujian dadah ke atas pemandu.

"Setakat ini, keputusannya negatif," katanya.

Beliau berkata, dua mangsa masih dirawat di zon merah dan tujuh lagi di zon kuning.

"Daripada sembilan yang meninggal, dua bukan Islam dan tujuh beragama Islam.

"Kami sudah membantu menguruskan kedua-dua orang bukan Islam dan Islam.

"Bedah siasat akan dijalankan pada 2.30 petang dan jenazah akan dibawa ke surau di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak untuk solat jenazah kemudiannya ke Unit 5 Sungai Senam di Ipoh untuk penghormatan terakhir," jelasnya.

Beliau turut menafikan spekulasi tular di media sosial yang mendakwa jumlah kematian mencecah 10 orang.

"Jadi, kami ingin menjelaskan bahawa setakat ini, hanya terdapat sembilan kematian yang disahkan.

"Lapan maut di tempat kejadian dan seorang meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah," tambahnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang maut.

Beliau turut bersedih dan bersimpati atas tragedi yang berlaku itu.

"Kita akan pastikan kebajikan keluarga terjaga. Pengorbanan mereka yang terkorban tidak akan dilupakan," katanya.

Kesemua mayat dilaporkan sudah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. — The Star/MANJIT KAUR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram