[VIDEO] Sentiasa baca surah al-Ikhlas, jurulatih jadikan seni silat sebagai 'kelas tambahan' untuk anak muda


  • Hobi
  • Selasa, 13 Mei 2025

Seni silat yang memerlukan lebih ramai penglibatan golongan muda.

SENI silat di Malaysia kini semakin didedahkan secara meluas terutama kepada golongan kanak-kanak.

Usaha memperkenalkan seni warisan itu bukan lagi terhad kepada gelanggang silat semata-mata, malah ia sudah mula menembusi institusi pendidikan formal.

Didikan silat juga giat diperkenalkan di sekolah-sekolah rendah dan menengah sebagai salah satu inisiatif membina sahsiah murid secara menyeluruh.

BACA LAGI: [VIDEO] Hidupkan kembali budaya makan sirih dan simpan keris, bukan setakat simpan muzium — Cucu Mat Kilau

BACA LAGI: Selain tambah pahala, sunat hukumnya bagi suami tunai solat 2 kali semata mahu jemaah dengan isteri

Latihan silat kini giat didedahkan di sekolah-sekolah.

Bagi jurulatih Kelab Silat Olahraga Silatra di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, Yusrizam Ibrahim, pendidikan silat memberi ruang untuk membentuk insan yang seimbang dari sudut nilai, adab dan spiritual semakin mengecil.

Yusrizam yang juga bertugas sebagai guru Bahasa Melayu di sekolah itu berkata, aktiviti silat boleh dianggap sebagai kelas tambahan atau kedua buat semua murid. 

"Kami percaya bahawa pendidikan tidak seharusnya terhenti dalam dinding bilik darjah.

"Kita juga tambah satu lagi masa berkualiti untuk mereka pada hari cuti.

"Kalau anak-anak lain zaman sekarang, mungkin waktu lapang main gajet, tetapi dengan adanya latihan silat, hubungan mereka dengan guru lebih rapat," katanya kepada Majoriti

Menurutnya, silat menjadi medium pendidikan luar bilik darjah yang menyeluruh merangkumi akhlak, budaya dan jati diri. 

Selain menjadi tenaga pengajar akademik, Yusrizam juga berperanan sebagai penyambung antara dunia pendidikan formal dengan dunia luar melalui pertubuhan silat. 

"Silat bukan sekadar latihan fizikal, tetapi medan mendidik adab, menghormati guru serta membentuk sahsiah murid secara holistik.

"Saya percaya, inilah yang membezakan silat daripada aktiviti sukan lain.

"Ia bukan hanya tentang menang kalah di gelanggang, tetapi tentang bagaimana anak-anak ini belajar menyusun langkah, menunduk hormat dan memahami falsafah perjuangan diri.

"Inilah yang membezakan silat daripada aktiviti sukan lain. Tidak kira lelaki mahu pun perempuan, mereka layak belajar ilmu ini," katanya. 

Yusrizam yang menjadi penghubung antara guru dan murid dalam mempelajari ilmu silat.

Ramai yang menyangka silat hanyalah aktiviti lasak tanpa impak besar dalam pendidikan.

Hakikatnya, beliau berjaya meningkatkan penyertaan murid dalam pelbagai pertandingan dari peringkat daerah hinggalah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tahun lalu sahaja, lebih 90 murid sekolah terbabit berjaya menyertai pertandingan peringkat daerah dan seramai 79 orang akan menyertai Nagasaki Open Malaysia.

Ia bukan sahaja membina semangat kompetitif yang sihat, malah mengangkat maruah dan keyakinan diri mereka.

Yusrizam pada masa sama menyarankan agar lebih ramai ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menyertai silat. 

Latih generasi muda 

Selain Yusrizam, dua jurulatih kanan muda dari Seni Silat Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau, Muhammad Anif Najmin Mohamad Nordin, 23, dan Muhamad Hazim Moohd Hazlen, 25, juga antara peneraju generasi kini dalam seni silat.

Berkongsi serba sedikit tentang penglibatan mereka, Muhammad Anif mula menceburi bidang itu sejak berumur tujuh tahun. 

Sebagai individu yang masih berusia 20-an, dia tidak menafikan bahawa terdapat kesukaran dalam melatih kanak-kanak zaman kini.

Katanya, meskipun begitu, masih ada yang tertarik untuk mempelajari ilmu silat. 

Muhammad Anif juga berkata, penglibatan ilmu silat juga diajar sama rata kepada semua generasi sama ada kanak-kanak atau dewasa. 

Muhammad Anif (kanan) dan Muhamad Hazim (kiri) yang melibatkan diri dalam dunia silat sejak kecil.

"Sebenarnya bagi saya, tiada perbezaan dalam dunia seni silat ini.

"Semuanya sama. Yang kita pegang adalah satu iaitu seni mempertahankan diri.

"Cuma, apa yang membezakannya adalah daripada aspek teknik dan jenis silat," katanya. 

Muhamad Hazim pula menafikan bahawa identiti Mat Kilau menjadi faktor penarik pelajar sekolah menyertai persatuan silat tersebut.

"Minat untuk belajar seni mempertahankan diri lahir daripada kesedaran individu itu sendiri.

"Tetapi, kami percaya bahawa ikon seperti Mat Kilau memberi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih mengenali dan menghargai silat," ujarnya.

Kata mereka, hanya ayat al-Quran menjadi pendinding dan penguat semangat untuk mengekalkan ilmu silat di dada.

"Selama kami melatih ni, pernah juga yang bertanya kami guna ilmu apa.

"Tetapi, setakat ini untuk saya hanya berpegang pada surah al-Ikhlas. 

"Tok guru saya pun selalu berpesan, beramallah dengan surah itu. Dapat baca tiga kali satu hari pun cukup memadai. Insya-ALLAH," simpulnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram