Polis siasat kemungkinan Pamela Ling lari ke luar negara, nafi suspek lain terlibat


  • 112
  • Selasa, 13 Mei 2025

Polis juga menolak kemungkinan terdapat suspek lain yang terbabit dalam kes kehilangan Pamela Ling.

POLIS sedang menyiasat kemungkinan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang pada 9 April lalu melarikan diri ke luar negara.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, setakat ini pergerakan keluar negara individu berkenaan sudah disekat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika pasukan itu menjalankan siasatan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan merakam percakapan anak-anak individu dan saksi akan diambil dalam tempoh terdekat dan sedang diatur oleh pihak Polis Antarabangsa (Intepol).

BACA LAGI: ‘Culik diri sendiri’, famili Pamela Ling persoal teori siasatan awal polis

BACA LAGI: Pamela Ling ada anak hidap penyakit kronik perlukan rawatan segera, peguam desak polis salur maklumat telus

Pihaknya juga menolak kemungkinan terdapat suspek lain yang terbabit dalam kes ini.

"Setakat ini seramai 27 orang saksi juga sudah dirakam percakapan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Polis bagaimanapun tidak menolak kemungkinan wanita itu juga mungkin melakukan penculikan sendiri.

Namun, siasatan menyeluruh juga sedang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Sebelum ini, peguam, Sangeet Kaur Deo mendesak pihak berkuasa untuk memberi maklumat tentang kehilangan Pamela dengan telus.

Menurutnya, Pamela juga mempunyai anak yang menghidap penyakit kronik serta memerlukan rawatan segera.

Pada 9 April, Ling dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram