TIDAK pernah terbayang oleh Dr Farina Othman bahawa pertemuan pertamanya dengan gajah Borneo akhirnya membawa beliau kepada satu misi hidup yang berterusan selama hampir dua dekad.
Segalanya bermula apabila beliau berpindah dari Alor Setar, Kedah ke Sabah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang biologi pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Ketika menjalankan tugasan akademik, beliau menyedari bahawa panggilannya adalah untuk melindungi gajah Borneo, spesies terancam yang kini semakin pupus akibat tekanan pembangunan.
BACA LAGI: Anak gajah betina ditemukan mati di Lahad Datu, tiada kesan jenayah
BACA LAGI: MBSA dikecam lepaskan spesis ikan terancam dalam Tasik Bandaraya Shah Alam
Usaha gigih beliau selama 17 tahun akhirnya mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Dr Farina diumumkan sebagai penerima Anugerah Whitley 2025, satu pengiktirafan dalam bidang pemuliharaan alam sekitar oleh Whitley Fund for Nature (WFN) di United Kingdom.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Puteri Anne dari UK dalam satu majlis di Royal Geographical Society, London, pada 30 April lalu.
“Memenangi Anugerah Whitley sangat bermakna bagi saya. Ia merupakan satu pengiktirafan peribadi bahawa segala perjuangan dan pengorbanan dalam kerja ini tidak sia-sia,” kata Dr Farina.

Dr Farina bekerja secara langsung dengan pekerja ladang, pekebun kecil dan sekolah tempatan untuk melatih mereka mengenali gajah secara individu.
Kini bertugas sebagai pensyarah kanan di UMS, Dr Farina memulakan kerjaya pemuliharaan pada 2008 di Pusat Lapangan Danau Girang, Kinabatangan.
Pada 2018, beliau menubuhkan Seratu Aatai, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan berasaskan komuniti di Kinabatangan yang membawa maksud solidariti, dengan fokus pada pemuliharaan secara inklusif.
Menurutnya, populasi gajah Borneo yang unik secara genetik itu kini dianggarkan kurang daripada 1,000 ekor, dengan sekitar 300 daripadanya hidup di kawasan Kinabatangan.
Ancaman utama kepada habitat mereka termasuklah pemecahan hutan akibat pembalakan dan penanaman kelapa sawit, yang menyebabkan konflik antara manusia dan haiwan semakin kerap berlaku.
“Impian sebenar saya adalah untuk melihat gajah kembali menjadi sebahagian daripada landskap kita, bukan sesuatu yang kita takuti atau tolak, tetapi sesuatu yang diterima dan dihormati,” ujarnya.
Terima geran
Sebagai sebahagian daripada pengiktirafan tersebut, Dr Farina menerima geran sebanyak £50,000 (RM287,000) yang akan digunakan untuk membina koridor selamat merentasi ladang sawit.
Beliau akan menjalankan kajian tingkah laku gajah selain menyokong tugas warden hidupan liar kehormat dalam kalangan komuniti tempatan.
Mengambil pendekatan berteraskan rendah diri dan empati, Dr Farina bekerja secara langsung dengan pekerja ladang, pekebun kecil dan sekolah tempatan untuk melatih mereka mengenali gajah secara individu, memantau pergerakan kawanan dan menangani konflik dengan pendekatan tanpa keganasan.
“Konflik adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan sepenuhnya. Malah sesama manusia pun ada perselisihan.
“Saya lakukan ini kerana melihat ketidakadilan dalam cara kita melayan alam sekitar dan bagaimana ia mencetuskan konflik antara manusia serta haiwan.
"Pekerjaaan ini saya anggap sebagai satu panggilan jiwa,” ungkap wanita itu.
Bagi Dr Farina, kejayaan dikecapi bukan miliknya seorang, sebaliknya mewakili usaha kolektif rakyat Sabah, khususnya komuniti Kinabatangan, dalam usaha menjayakan konsep hidup harmoni bersama alam.
“Saya akan rasa bangga apabila bertemu Sang Pencipta dan dapat berkata bahawa saya telah cuba sedaya upaya, dengan segala yang saya ada, untuk melindungi ciptaan-Nya yang lain,” tuturnya. — The Star/REBECCA CHONG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
