
PRESIDEN Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu yang kini dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari di Malaysia, menerima sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada Jumaat.
Beliau tiba pada pukul 9 pagi dan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disusuli alunan lagu kebangsaan kedua-dua negara sebagai simbol penghormatan diplomatik.
Upacara sambutan turut menyaksikan Osmani memeriksa kawalan kehormatan oleh tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Muhammad Fikri Senan.
Osmani ketika lawatannya selama empat hari di Malaysia. — Facebook/Anwar Ibrahim
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, beberapa menteri Kabinet, diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan.
Usai upacara rasmi, Osmani menandatangani buku pelawat sebelum meneruskan pertemuan dua hala bersama perdana menteri bagi membincangkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Kosovo.
Malaysia merupakan antara negara Asia terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Kosovo secara rasmi pada 30 Oktober 2008.
Hubungan diplomatik kedua-dua negara pula secara rasmi dimeterai pada 18 Mac 2011.
Statistik perdagangan bagi 2024 menunjukkan jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Kosovo bernilai RM28.55 juta (AS$6.0 juta).
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Kosovo mencecah RM25.92 juta (AS$5.5 juta), manakala import dari republik itu adalah sebanyak RM2.63 juta (AS$550,000).
Produk eksport utama Malaysia merangkumi minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta barangan pembuatan, manakala Kosovo pula mengeksport bahan mentah dan batu separa berharga ke Malaysia.
Berikut merupakan lima fakta menarik tentang wanita pertama yang menyandang jawatan tertinggi di republik Balkan itu:
Osmani dipilih sebagai ahli Perhimpunan Republik Kosovo sebanyak empat penggal. — Agensi
1. Presiden wanita pertama dalam sejarah
Dilahirkan pada 17 Mei 1982 di Mitrovica, Kosovo, Osmani mencatat sejarah apabila dilantik sebagai presiden wanita pertama Kosovo pada 4 April 2021.
Pelantikan beliau menjadi simbol perubahan dan kemajuan demokrasi di negara itu.
Osmani telah dipilih sebagai ahli Perhimpunan Republik Kosovo sebanyak empat penggal, menjadikannya wanita paling banyak menerima undi dalam sejarah pilihan raya parlimen Kosovo dan individu kedua paling banyak menerima undi secara keseluruhan.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah mempengerusikan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen, Jawatankuasa Integrasi Eropah dan pernah menjadi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Perlembagaan.
2. Bekas speaker Parlimen dan ahli politik perpengalaman
Sebelum menjadi presiden, Osmani pernah berkhidmat sebagai Speaker Parlimen Kosovo dan merupakan seorang pemimpin berpengaruh dalam arena politik tempatan.
Beliau juga pernah memangku jawatan presiden secara sementara pada 2020.
Antara 2006 hingga 2010, beliau berkhidmat sebagai Ketua Staf kepada Presiden Sejdiu serta Penasihat Kanan dalam Hal Ehwal Perundangan dan Hubungan Antarabangsa.
Osmani turut menulis dan menerbitkan buku, artikel, monograf serta karya dalam bidang Undang-Undang Antarabangsa dan Perdagangan, dalam bahasa Albania dan Inggeris.
Beliau juga pernah memangku jawatan Presiden secara sementara pada 2020. — Agensi
3. Latar belakang akademik
Beliau menamatkan pendidikan rendah dan menengah di Mitrovica, seterusnya melanjutkan pengajian di Fakulti Undang-Undang, Universiti Prishtina.
Osmani kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang undang-undang.
Beliau juga pernah menjadi pensyarah undang-undang antarabangsa dan perlembagaan di Universiti Pristina, Kosovo.
Sepanjang kerjayanya, Osmani dikenali sebagai pejuang hak wanita dan kebebasan bersuara. — Agensi
4. Pejuang hak asasi dan wanita
Beliau berkahwin dengan Pridon Sadriu dan dikurniakan dua anak perempuan kembar.
Sepanjang kerjayanya, Osmani dikenali sebagai pejuang hak wanita dan kebebasan bersuara.
Beliau secara konsisten menyeru kepada kesamarataan gender dan penglibatan lebih ramai wanita dalam sektor kepimpinan.
5. Tokoh diplomatik muda
Osmani kini berusia 42 tahun dan merupakan antara pemimpin termuda di Eropah yang memegang jawatan presiden.
Pendekatannya yang progresif dan lantang dalam memperjuangkan kemerdekaan Kosovo menjadikan beliau figura penting dalam arena diplomatik antarabangsa.
Lawatan rasmi beliau ke Malaysia dijangka membuka ruang kerjasama baharu antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi dan diplomasi antarabangsa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram