Anak didiagnosis leukemia perlu rawatan lebih RM2 juta cetus ilham Lavaniyah tubuh NGO bantu keluarga senasib


Anak perempuan Lavaniyah yang ketika itu baru berusia enam tahun, disahkan menghidap sejenis leukemia yang jarang berlaku.

UJIAN berat yang menimpa keluarga pada 2021 menjadi titik tolak kepada perubahan besar dalam hidup Lavaniyah Ganapathy.

Anak perempuannya, Mahiyaa Bala Jeganath yang ketika itu baru berusia enam tahun, disahkan menghidap sejenis leukemia yang jarang berlaku.

Berita diterima benar-benar mengejutkan dan mematahkan semangat ibu kepada tiga cahaya mata itu.

BACA LAGI: 'Sendi sakit, hanya selesa bersujud,' hati ibu luluh anak sulung derita barah sarcoma

BACA LAGI: Rai ibu tersayang dengan hadiah haruman bersama jambangan bunga

 

 

Namun Lavaniyah, 40, enggan terus terduduk. Beliau segera bangkit mencari rawatan terbaik demi anak tersayang.

“Kami diberitahu Mahiyaa memerlukan rawatan terapi sel atau CAR-T, yang hanya terdapat di Singapura ketika itu.

"Mujur anak saya dilindungi insurans perubatan yang menampung keseluruhan kos rawatan sebanyak RM2.2 juta,” katanya yang turut mempunyai dua orang anak lelaki berusia lapan dan enam tahun.

Enam bulan selepas diagnosis, kehidupan Lavaniyah berubah apabila beliau terserempak dengan keluarga lain dalam keadaan panik dan buntu di pusat jagaan harian onkologi kanak-kanak dikunjungi anaknya.

“Saya minta suami bertanya keadaan mereka dan kami diberitahu keluarga tersebut memerlukan RM750,000 untuk rawatan kanser anak.

"Sebagai ibu, saya faham kesakitan itu dan segera menggerakkan usaha untuk membantu,” katanya.

Dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lavaniyah berjaya mengumpul dana diperlukan hanya dalam masa empat hari.

Kejayaan itu mengilhamkannya untuk membantu lebih ramai keluarga yang senasib.

Penubuhan CCAM

Sehinggalah pada 2022, beliau menubuhkan pertubuhan kebajikan, Persatuan Kanser Kanak-Kanak Malaysia (CCAM) yang kini membantu lebih 50 kanak-kanak pesakit kanser.

Daripada jumlah itu, 12 individu menerima bantuan kewangan bernilai antara RM100,000 hingga RM1.2 juta bagi menampung kos rawatan.

Menurut Lavaniyah, semua pembayaran rawatan dibuat terus kepada pihak hospital tanpa perlu melalui keluarga pesakit.

“Saya sendiri pernah lalui detik itu. Walaupun mempunyai dana, ia tetap menakutkan dan menghancurkan perasaan.

"Jadi saya ingin meringankan beban keluarga yang kurang bernasib baik,” jelasnya.

Kini, Mahiyaa yang berusia 10 tahun telah kembali ke sekolah dan sedang menjalani fasa pemulihan dengan baik.

Selain membantu menguruskan perniagaan perkapalan keluarga, Lavaniyah kini menumpukan sebahagian besar masa kepada kerja kebajikan bersama CCAM, yang baru-baru ini menerima status pengecualian cukai daripada kerajaan.

Beliau berharap lebih banyak syarikat korporat tampil memberi sokongan demi meringankan beban keluarga yang tidak mampu membiayai rawatan kanser anak-anak mereka.

“Saya juga menggalakkan ibu bapa supaya mendapatkan perlindungan insurans untuk anak dan bawa mereka berjumpa doktor seawal mungkin apabila sakit kerana pengesanan awal sangat penting,” tambahnya.

Orang ramai yang memerlukan bantuan kewangan bagi rawatan kanser kanak-kanak boleh menghubungi CCAM di talian 016-331 2427 atau e-mel ke info@ccaminternational.com. — The Star/WANI MUTHIAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram