Hadapi masalah kewangan, kos perjalanan tinggi jadi punca ramai pesakit barah payudara di Sabah masih pilih perubatan tradisional


  • Sihat
  • Ahad, 04 Mei 2025

Program amal yang dianjurkan antara lain memberi kesedaran kerana masih ramai pesakit barah payudara di Sabah lebih memilih rawatan tradisional berbanding kaedah moden.

RAMAI pesakit kanser payudara di Sabah masih memilih rawatan tradisional sebelum mendapatkan rawatan perubatan moden, kata Presiden Kinabalu Pink Ribbon Sabah.

Christy Fe Salazar berkata, terdapat pesakit yang hanya mendapatkan rawatan di hospital apabila keadaan mereka sudah kritikal.

“Apabila mereka akhirnya merujuk penyakit itu ke hospital, kebanyakannya sudah berada di peringkat akhir.

"Ini amat menyedihkan kerana pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa mereka," katanya.

 

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat cantik tapi jaga solat dan pandai masak, Eyka Farhana disifatkan sebagai 'bahan isteri'

BACA LAGI:  [VIDEO] 'Semoga ALLAH kurniakan zuriat', Sweet Qismina teringin jadi ibu, guna AI bayangkan diri sewaktu mengandung.

Salazar turut menyatakan bahawa faktor kewangan dan perjalanan jauh yang memakan belanja tinggi ke bandar antara faktor yang menyumbang kepada keadaan berkenaan.

“Ada yang tidak mampu untuk merancang perjalanan terutama yang tinggal di kawasan pedalaman. 

"Ramai juga memerlukan seseorang untuk menemani mereka dan ini menambah beban kos serta tekanan emosi," katanya ketika berucap di acara tahunan Walk Abreast sempena Hari Ibu kali ke-13 yang diadakan di Taman Awam Teluk Likas, Sabah pada Ahad.

Acara bertemakan 'Berjalan Demi Kehidupan, Berjalan Demi Harapan' itu menarik lebih 1,000 penyertaan.

Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag merasmikan acara tersebut yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara demi menggalakkan pengesanan awal serta memberi sokongan dan harapan kepada pesakit.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kapayan, Jannie Lasimbang dan pengasas Kinabalu Pink Ribbon Sabah, Datin Lucilla Pang.

"Setiap langkah yang kita ambil bersama dalam acara ini adalah usaha untuk mengurangkan kebimbangan dan menyebarkan pengetahuan.

“Perjalanan ini juga merupakan satu bentuk keraian terhadap kesihatan, kehidupan dan kekuatan yang kita kongsi secara bersama.

"Ia memberi peringatan untuk terus aktif, menjaga kesihatan diri dan menyebarkan semangat positif," kata Christy.

Kinabalu Pink Ribbon Sabah turut membantu pesakit kurang berkemampuan termasuk menyediakan bantuan perjalanan sebanyak RM300 kepada pesakit luar bandar yang memerlukan rawatan.

Dalam perkembangan sama, Christy berkata, 'rumah persinggahan' percuma di Kota Kinabalu disediakan buat pesakit dari kawasan luar bandar memandangkan ibu negeri itu merupakan satu-satunya lokasi di Sabah yang menyediakan perkhidmatan radioterapi.

“Kesukaran mengakses rawatan adalah antara punca utama.

"Apabila rawatan jauh, mahal dan sukar dicapai, pesakit akan teragak-agak," tambahnya.

Pertubuhan itu juga sedang mengumpulkan dana untuk membeli mesin lymphedema bagi membantu mengurangkan bengkak selepas pembedahan.

Satu majlis makan malam amal akan diadakan pada 7 Jun di Dewan Putera diikuti dengan majlis gala pada 6 Oktober serta pelbagai aktiviti kesedaran sepanjang tahun.

Christy turut menyeru wanita agar mengutamakan kesihatan diri dan menjalani saringan secara berkala.

"Pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa. Kami berharap dapat menjangkau lebih ramai wanita sebelum terlambat," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram