Bukan galak seks bebas tapi cegah kuman, ibu bapa jangan sesekali tolak vaksin HPV dan Hepatitis B


  • Sihat
  • Khamis, 01 Mei 2025

Vaksin tersebut adalah pelindung jangka panjang yang penting dalam usaha mencegah penyakit. — Agensi

IBU bapa disarankan agar tidak menolak pemberian vaksin papilomavirus manusia (HPV) dan Hepatitis B kepada anak sebagai pencegahan awal terhadap jangkitan kuman berbahaya yang boleh membawa maut, termasuk kanser pangkal rahim dan kanser hati.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes penyakit jangkitan kelamin (STD) dalam kalangan remaja.

Beliau mengambil contoh baru-baru ini seorang pesakit lelaki berusia 21 tahun kini dirawat akibat jangkitan kuman yang dibawa oleh hubungan kelamin.

BACA LAGI: Seks ketika datang bulan, undang penyakit kelamin HPV

BACA LAGI: Awas gejala endometriosis, mampu jadi musuh senyap wanita, risiko sukar hamil

Kes penyakit jangkitan kelamin dalam kalangan remaja semakin menunjukkan peningkatan. — Facebook/Sakinah Sulong

"Semuda itu, pesakit ini dah terdedah dengan aktiviti seks rambang. Inilah yang kami banyak jumpa di klinik sekarang. Ada yang semuda belasan tahun. 

"Mereka mungkin belum kena HIV tapi dah dapat penyakit kelamin yang lain, gonorrhea, siflis, HPV ataupun Hepatitis B dan C," katanya menerusi hantaran di Facebook, Sakinah Sulong pada Rabu.    

Dr Sakinah turut menzahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir ibu bapa yang menolak pemberian vaksin HPV dan Hepatitis B kepada anak mereka, atas alasan kononnya anak tidak akan terlibat dalam hubungan seksual pada usia muda.

“Saya nasihatkan, jangan terlalu yakin. Kita tak tahu bagaimana besarnya cabaran dunia luar terhadap anak-anak dan siapa pasangan mereka kelak. 

"Anak mungkin bersih, tapi pasangannya belum tentu. Jika pasangannya pernah terdedah dengan aktiviti berisiko, anak kita tetap boleh dijangkiti selepas berkahwin.

"Kuman HPV dikaitkan dengan kanser pangkal rahim, manakala kuman Hepatitis B dan C dikaitkan dengan kerosakan hati dan seterusnya kanser hati,” jelasnya.

Tambah beliau, masyarakat perlu faham bahawa vaksin tersebut adalah pelindung jangka panjang yang penting dalam usaha mencegah penyakit, bukan lesen untuk anak-anak berkelakuan bebas.

Ujar beliau, remaja cenderung terdedah dengan material dan rangsangan seksual, baik melalui media sosial mahupun dunia sebenar. 

"Predator seksual juga berada di mana-mana sebenarnya, tanpa kita sedari," katanya.

Untuk rekod, vaksin HPV diberikan secara percuma kepada murid perempuan Tingkatan 1, manakala vaksin Hepatitis B diberikan seawal usia bayi dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram