'Sendi sakit, hanya selesa bersujud,' hati ibu luluh anak sulung derita barah sarcoma


  • Relaks
  • Rabu, 16 Apr 2025

Rafidah bersama anak perempuannya Qaleesya Aishah dan Muhammad Adif (berkerusi roda).

HAMPIR setahun Rafidah Manaf berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi anak lelakinya yang disahkan menghidap sejenis kanser yang bersifat 'rare'.

Ibu tunggal berusia 45 tahun itu berkata, anaknya, Muhammad Adif Fadrul Syahrul, 17, disahkan menghidap sarcoma, iaitu sejenis kanser yang terbentuk pada tisu lembut dalam badan seperti otot dan tulang rawan, saraf dan sekitar sendi.

“Pada Jun tahun lepas, anak saya mula mengadu sakit di bahu kiri.

“Dia memberitahu saya, kesakitan yang dirasai amat teruk, jadi saya bawa dia ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang, Johor.

“Doktor hanya beri ubat tahan sakit untuk mengurangkan kesakitan, dan kami pun pulang ke rumah selepas itu,” katanya.

BACA LAGI: 'Bincang sampai sepakat', Shahaniza kenang cara diplomatik Pak Lah elak wujud pertandingan dalam sayap Puteri Umno

BACA LAGI: [VIDEO] Trend 'Seribu Tahun TTC' ubati duka, karya Imran Ajmain meruntun hati pasangan menanti zuriat

Kanser sarcoma terbentuk pada tisu lembut dalam badan seperti otot, tulang dan sekitar sendi. — National University Health System

Namun, sebulan kemudian, Adif mula perasan ada benjolan di bahu yang sama.

Disebabkan risau, mereka kembali ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Waktu benjolan itu mula-mula timbul, saya memang dah risau kalau ia berkaitan dengan kanser. Tapi Adif pujuk dan menenangkan saya dengan mengatakan ia mungkin tidak serius," ceritanya.

Bagaimanapun, pada bulan Disember tahun lepas, Rafidah berkata, anaknya itu dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat untuk menjalani imbasan MRI.

"Masa itulah doktor sahkan dia menghidap kanser. Hancur hati saya waktu itu,” katanya.

Sejak Februari lepas, Adif mula menjalani rawatan kanser di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru dan sebagai ibu, Rafidah sentiasa berada di sisinya.

Rafidah yang bekerja di sebuah restoran di Kluang, terpaksa mengorbankan tugasnya itu yang sudah menjadi punca pendapatan buat dirinya sekeluarga sejak hampir 10 tahun.

Anak perempuannya yang berusia enam tahun pula dijaga oleh ahli keluarga di kampung.

Bercerita lanjut, Rafidah berkata, keadaan kesihatan Adif kini semakin tidak stabil kerana sel kanser sudah merebak ke bahagian muka, buah pinggang, paru-paru, darah dan tulang.

“Mukanya bengkak dan dia dah tak boleh baring ke kiri atau kanan. Adif biasanya baring dalam posisi sujud sebab itu saja yang selesa baginya.

“Mulutnya penuh dengan ulser, dan sekarang dia sedang menjalani rawatan radioterapi dan kemoterapi,” katanya.

Rafidah juga maklumkan bahawa anaknya dijangka keluar wad HSI pada Rabu, tetapi perlu ke hospital untuk rawatan susulan.

Dia turut berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh ahli keluarga serta pihak sekolah anaknya, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil.

“Jururawat dan staf sokongan di HSI pun banyak membantu saya. Mereka bantu saya mohon bantuan kewangan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Johor.

“Saya harap permohonan itu diluluskan sebab duit itu akan digunakan untuk keperluan rawatan Adif, termasuk kos ulang-alik dari Kluang ke HSI,” jelasnya.

Rafidah berkata, selagi anaknya masih bernafas, dia akan terus berusaha sehabis baik demi kesihatan Adif.  —The Star/MOHD FARHAAN SHAH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram