Tunai janji mendiang suami, bekas pemandu pelancong diiktiraf cef sushi wanita pertama terima anugerah bintang Michelin


  • Relaks
  • Khamis, 01 Mei 2025

Wanita berasal dari Jepun itu berjaya meraih pengiktirafan berprestij tersebut bagi restoran yang dibangunkan mendiang suami. — Agensi

CHIZUKO Kimura, 54, mencipta sejarah apabila menjadi cef sushi wanita pertama di dunia yang dianugerahkan bintang Michelin, hasil tekad menunaikan janji terakhir kepada mendiang suaminya untuk meneruskan legasi mereka.

Wanita berasal dari Jepun itu berjaya meraih pengiktirafan berprestij tersebut bagi restoran mereka, Sushi Shunei yang terletak di Montmartre, Paris.

Lebih mengharukan, kejayaan itu diperoleh selepas dua tahun suaminya, Shunei Kimura meninggal dunia akibat kanser, hanya tiga bulan selepas restoran itu meraih bintang pertamanya.

BACA LAGI: Aturan hidup 'terpesong', anak Penang anggap anugerah Bintang Michelin gelaran, bukan penanda aras kejayaan

BACA LAGI: Diterima bekerja kerana cantik, mana lebih penting bijak atau rupa paras menawan?

Kimura (duduk) dan suaminya, Shunei di restoran mereka, Sushi Shunei di Paris. — Instagram/sushishunei

“Saya tak pernah mengejar bintang Michelin, tetapi ia amat bermakna buat Shunei. Beliau begitu berbangga apabila restorannya diiktiraf.

"Jadi, bintang ini kini menjadi sangat penting buat saya,” kata Kimura dalam temu bual di restorannya yang hanya boleh memuatkan sembilan pelanggan pada satu masa.

Bantu suami sakit

Michelin memuji sushi Shunei kerana penyediaan nigiri yang sempurna, penggunaan ikan bermutu tinggi dan perasa yang halus, sekali gus menjanjikan pengalaman deria luar biasa.

Menariknya, Kimura bukanlah seorang cef profesional. Sebelum pandemik Covid-19, beliau bekerja sebagai pemandu pelancong dan hanya mula membantu suaminya ketika beliau membuka restoran itu walaupun dalam keadaan sakit.

Hidangan sushi nigiri yang disajikan di Sushi Shunei. — Instagram/sushishunei

Sejak itu, Kimura tekun mempelajari seni memotong ikan, memasak nasi dan menguruskan operasi harian restoran, sambil menjaga suami yang semakin uzur.

“Saya terus belajar hingga hari ini, termasuk pulang ke Jepun dari semasa ke semasa bagi melengkapkan latihan. Setiap hari cuti, saya manfaatkan untuk berlatih,” ujarnya.

Selepas kematian Shunei pada Jun 2022, Kimura mengambil alih sepenuhnya restoran tersebut.

Beliau menggaji pakar pembuatan sushi, Takeshi Morooka bagi menambah baik hidangan dengan memperkenalkan tsumamis (pembuka selera yang dihidang bersama sake), memperkemas resipi nasi selain menaik taraf peralatan dapur.

Sushi Shunei hanya boleh memuatkan sembilan pelanggan sahaja dalam satu-satu masa. — Instagram/sushishunei

Usaha gigih wanita berkenaan akhirnya membuahkan hasil, apabila tiga tahun kemudian, Sushi Shunei kembali memperoleh bintang Michelin yang pernah hilang sebelum ini.

“Matlamat utama saya sekarang adalah untuk mengekalkan bintang ini. Untuk itu, kami perlu sentiasa memberikan layanan terbaik dan mengekalkan kualiti sempurna,” tuturnya.

Secara tradisinya, menjadi pakar sushi memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun latihan. Namun, Kimura berjaya dalam tempoh hanya lima tahun, ia pastinya satu pencapaian luar biasa.

“Jika pengiktirafan ini dapat memberi inspirasi kepada wanita lain, saya sangat bersyukur.

"Cita-cita saya kini adalah untuk mengatasi pencapaian mendiang suami sebagai penghormatan terakhir buat beliau yang menjadi pendorong utama kejayaan ini," ungkapnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram