
DI sebalik wajah tenang dan berseri dimiliki oleh pelakon jelita Sophia Albarakbah, rupanya tersimpan pelbagai rahsia kecantikan yang bukan sahaja moden, malah amalan turun-temurun.
Bukan sekadar bergantung pada produk penjagaan wajah, Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman lebih selesa mengamalkan gaya hidup sihat dan petua semula jadi diwarisi daripada orang tuanya khususnya ibu.
Menurut Sophia, ibunya berketurunan Cina sering merebus herba akar kayu sebagai salah satu alternatif bantu menjaga kesihatan dan kecantikan dalaman.
BACA LAGI: Selepas diagnos kanser, Sonali bangkit, berikut 5 parameter bahagia dilakukan
BACA LAGI: 'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha
Selain minuman herba, Sophia akan memastikan untuk meminum air kosong sekurang-kurangnya dua liter sehari. — Instagram/@sophiekoshka
"Ibu selalu rebus herba-herba Cina, akar kayu. Dia kata bagus untuk kesihatan dalaman, kulit dan kesihatan wanita.
"Hampir setiap bulan, ibu akan rebus dan sediakan untuk kami sekeluarga," katanya kepada Majoriti.
Walaupun rasanya kurang enak, ibunya tetap tegas memastikan anak-anak minum kerana khasiat terkandung di dalamnya.
"Ada dua jenis, ala sedap, ada sebaliknya. Tetapi ibu paksa kita minum juga (ketawa kecil)," ujar pelakon berusia 32 tahun itu
Amalan itu bukan sesuatu yang baharu bagi pelakon berdarah campuran ini berikutan ibunya sendiri mendapat petua tersebut daripada neneknya.
Kini, bintang From Saga With Love itu bersama tiga adik perempuannya turut mengamalkan petua sama.
Selain petua herba akar kayu, Sophia turut berkongsi beberapa amalan lain seperti tidur mencukupi, pengambilan air kosong sekurang-kurangnya dua liter sehari dan pengawalan pemakanan terutamanya ketika berada di lokasi penggambaran.
"Apabila shooting, memang tak ada bersenam, jadi saya cuba kawal makan. Pastikan setiap hidangan ada sayur, nasi suku pinggan, protein pun suku. Gula pun memang saya tak ambil, minum air kosong sahaja," katanya.
Menariknya, pendekatan ini bukan sekadar ikut-ikutan atau berdasarkan petua semata-mata.
Sophia yang merupakan graduan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Dietetik dengan Pemakanan dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) ternyata memahami keperluan tubuh dari sudut saintifik.
Justeru, pengambilan air kosong dan keseimbangan nutrien dalam pemakanan menjadi keutamaan dalam rutin hariannya.
Bercerita lanjut, meskipun tidak mengamalkan rutin kecantikan menggunakan bahan semula jadi, namun Sophia tetap percaya dengan keberkesanannya berbanding penggunaan produk moden.
Beliau turut berkongsi bapanya masih kelihatan awet muda meskipun berusia 72 tahun kerana mengamalkan gaya hidup semula jadi.
“Saya sendiri tak pernah cuba lagi produk organik, tapi ayah memang amalkan. Dia percaya dengan bahan-bahan semula jadi. Sekarang umurnya dah 72 tahun, tapi Alhamdulillah masih nampak muda, macam usia 50-an saja,” ceritanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram