Kebaya Kutu Baru kegemaran Dian Sastro malar segar, 'inspo' baju raya tahun depan


  • Relaks
  • Selasa, 06 Mei 2025

Dian Sastro aktif berkongsi gaya Kebaya Kutu Barunya di Instagram beliau.  — Instagram/@therealdisastr

GAYA klasik tidak pernah ketinggalan zaman. Itulah yang dibuktikan oleh pelakon tersohor Indonesia, Dian Sastrowardoyo, yang gemar menggayakan Kebaya Kutu Baru dalam pelbagai acara rasmi.

Meskipun trend fesyen berubah saban tahun, pelakon Ada Apa Dengan Cinta itu terus setia dengan gaya tradisional.

Pada usia 43 tahun, beliau bukan sahaja menjadikan kebaya sebagai pilihan utama, malah mempopularkannya dalam kalangan generasi muda dengan sentuhan moden dan elegan.

BACA LAGI: 'Sama genit, sama comel', gaya sedondon Ernie Zakri dan puteri sulung curi tumpuan warga maya

BACA LAGI: Emas ibu boleh difaraid sesama adik-beradik perempuan walaupun dibeli atas nama anak lelaki — Pakar

Gaya Kebaya Kutu Baru sesuai untuk wanita yang mahu tampil  ‘extra’ tetapi masih mengekalkan keseimbangan. — Instagram/@therealdisastr

Dian sering berkongsi penampilannya dalam busana kebaya yang direka oleh pereka tempatan menerusi akaun Instagram miliknya.

Malah, beliau turut mengasaskan sebuah komuniti dikenali sebagai 'Sobat Kebaya' atau 'Sahabat Kebaya' yang menghimpunkan wanita-wanita yang mengangkat kembali busana tradisional sebagai gaya harian dan formal.

Menariknya, komuniti terlibat turut mendapat sokongan daripada selebriti Indonesia yang lain, sekali gus memperluas pengaruh gaya kebaya di rantau Asia. 

Bukan itu sahaja, gaya Kebaya Kutu Baru juga mungkin boleh memberi inspirasi kepada gaya raya penggemar fesyen di Malaysia.

Berbanding kebaya tradisional Malaysia, Kebaya Kutu Baru dari Indonesia biasanya digayakan bersama selendang rona terang.

Gaya tersebut amat sesuai buat wanita yang ingin tampil ‘extra’ tetapi masih mengekalkan keseimbangan dalam penampilan.

Sehubungan itu, berikut Majoriti senaraikan beberapa penampilan Kebaya Kutu Baru oleh Dian Sastro yang boleh dijadikan inspirasi gaya raya akan datang penggemar fesyen di Malaysia:

1. Jika terfikir mengenai gabungan warna 'hot pink' dan kuning, pasti ada yang bimbang jika penampilan kelihatan sangat terang sehingga menjadi tumpuan ramai.

Namun, Dian membuktikan sebaliknya dalam satu penampilanya yang dianggap 'berani' di mana beliau mengenakan baju kebaya kuning, digayakan bersama kain merah jambu dan biru serta disempurnakan dengan selendang hot pink.

2. Dalam satu lagi gaya, beliau menyarungkan kebaya hitam bersama kain coklat dan selendang turquoise, dilengkapkan dengan kaca mata hitam cat-eye yang memberi aura klasik.

 

3. Enggan tampil dengan busana tanpa motif berwarna, Dian juga pernah menggayakan kebaya bermotif bunga keemasan dan ungu, serta selendang turquoise yang menjadikan penampilannya lebih feminin. 

4. Satu lagi gaya menarik ialah kebaya baldu hitam, yang ditambah dengan aksesori etnik seperti rantai, gelang, cincin dan subang, menyerlahkan sisi kemewahan.

5. Cukup dengan warna hitam, Dian tampil dengan kebaya putih bersama kain rona coklat.

Warna neutral tersebut kemudian 'dihidupkan' dengan selendang rona magenta, menjadikan keseluruhan gaya lebih anggun.

Selain memartabatkan busana warisan, populariti semula Kebaya Kutu Baru juga menunjukkan peningkatan minat generasi muda terhadap identiti dan sejarah budaya Nusantara.

Dengan pengaruh selebriti seperti Dian Sastro, tidak mustahil jika Kebaya Kutu Baru bakal menjadi trend di Malaysia untuk musim perayaan akan datang yang sebelum ini didominasi oleh busana fabrik viscose. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram