Dari layanan butik hingga jaminan lepas jualan, ada sebab penggemar fesyen pilih produk 'ori'


  • Relaks
  • Ahad, 27 Apr 2025

Baik beg tangan original atau tiruan ia bergantung kepada pilihan cita rasa kepuasan pengguna . —  Gambar hiasan/Freepik dijana AI

TIDAK semua orang sanggup berbelanja besar untuk barangan berjenama, apatah lagi jika ada pilihan yang kelihatan serupa dengan harga dijual jauh lebih murah.

Namun, sejauh mana nilai serta kepuasan sebenar apabila memilih antara barangan asli dan tiruan?

Bagi penggemar barangan berjenama, Athira, beliau berpendapat, membeli produk original bukan sekadar soal gaya, tetapi satu bentuk penghargaan terhadap hasil seni pertukangan dan usaha sesebuah jenama untuk membina nama.

BACA LAGI: [VIDEO] Selendang sulam emas, keringkam nilai RM10,000 jadi pilihan pengantin di Sarawak, anggun sarat tradisi

BACA LAGI: [VIDEO] Dulu suka-suka lentikkan bulu mata rakan, kini jadi pendapatan sampingan, miliki studio mini

Bagi segelintir penggemar fesyen, barangan tiruan tidak semestinya kurang berkualiti. —  Gambar hiasan/Freepik

"Saya beli untuk hargai diri sendiri dan usaha mereka yang menghasilkan produk itu. Kalau tak mampu, lebih baik beli barang tiada jenama berbanding tiruan," ujarnya.

Farah pula berkongsi dua sudut pandang sebagai pembeli dan juga pereka kasut. Beliau mengakui pernah mencuba kedua-dua jenis produk.

"Barang original beri pengalaman berbeza, dari layanan butik sehinggalah jaminan selepas jualan.

"Tapi apabila beli barangan tiruan, saya mula rasa bersalah sebab saya sendiri faham perasaan pereka apabila hasil rekaan mereka diciplak," jelasnya.

Sementara itu, Zila pula percaya bahawa barangan berjenama hadir dengan kualiti lebih baik serta memberi kesan positif terhadap keyakinan diri.

"Memang beza dari segi material. Apaila kita pakai barang mahal, kita rasa lebih yakin bila berjumpa orang," katanya.

Pada masa yang sama, Kamelia Nisha menekankan aspek etika dalam memilih barangan.

"Kilang barangan tiruan mungkin tak patuh undang-undang, malah guna tenaga kerja bawah umur. Kita patut sokong jenama tulen atau cari alternatif yang sah dan mampu milik," tambahnya.

Bagi Aniza, segala-galanya kembali kepada kepuasan diri.

"Tak kisah mahal atau murah, yang penting cara kita guna dan jaga barang itu. Yang tiruan tak semestinya tak berkualiti, tapi jangan sampai kita rosakkan nilai rekaan asal," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram