Sewa lelaki kacak untuk menangis, budaya ikemeso danshi beri ruang wanita Jepun cari ketenangan


  • Relaks
  • Khamis, 08 Mei 2025

Lelaki terlibat dilatih khas untuk memberikan sokongan emosi secara empati dan penuh kelembutan. — Agensi

DI sebalik kemajuan teknologi dan gaya hidup moden Jepun, wujud satu perkhidmatan luar biasa yang mendapat perhatian, iaitu menyewa lelaki kacak untuk menangis bersama sebagai satu bentuk terapi emosi.

Dikenali sebagai ikemeso danshi, istilah itu merupakan gabungan dua perkataan Jepun, ikemen, yang bermaksud lelaki tampan dan mesomeso, yang merujuk pada tangisan teresak-esak. 

Lelaki-lelaki berkenaan bukan sekadar menarik dari segi rupa paras, malah mereka juga dilatih khas untuk memberikan sokongan emosi secara empati dan penuh kelembutan.

BACA LAGI: 'Majlis anugerah perlu pentingkan isi, bukan gimik', pihak sekolah disaran contohi budaya Jepun hargai pelajar

BACA LAGI: Bukan saja tempat luah perasaan, ChatGPT jadi 'personal trainer' bantu turunkan berat badan

Pencetus idea ikemeso danshi, Hiroki Terai. — Agensi

Konsep perkhidmatan itu unik dan tidak konvensional, namun berakar daripada kepercayaan bahawa menangis adalah satu bentuk kelegaan psikologi yang berkesan. 

Dalam suasana masyarakat Jepun yang cenderung menahan emosi, terutamanya dalam kalangan wanita yang sering memendam perasaan, kehadiran seorang ikemeso danshi memberikan ruang selamat untuk mereka melepaskan tekanan dengan tenang.

Sepanjang sesi, lelaki tersebut akan duduk bersama pelanggan, mendengar luahan mereka dan dalam suasana penuh empati, turut menangis bagi menunjukkan sokongan emosi. 

Malah, mereka akan membantu menyapu air mata pelanggan dengan penuh kelembutan, menjadikan pengalaman tersebut bukan sahaja menyentuh perasaan tetapi juga memberi keselesaan mendalam.

Pencetus idea ikemeso danshi, Hiroki Terai mengasaskan inisiatif itu setelah menyaksikan kesan mendalam daripada aktiviti menangis secara kolektif, yang akhirnya mendorong beliau untuk menceburi industri tersebut.

Perkhidmatan unik itu berlandaskan prinsip rui-katsu atau pencarian tangisan, dengan matlamat mewujudkan suasana yang mana ekspresi emosi bukan sahaja diterima, malah diraikan dan dihargai.

Pengalaman peribadi Terai

Terai yang terkenal dengan minatnya terhadap sisi emosi manusia berkata, idea itu lahir daripada pengalaman peribadinya.

“Saya sentiasa tertarik dengan kisah tersembunyi dalam diri manusia,” ujarnya.

Kenangan menyendiri sewaktu zaman sekolah apabila beliau terpaksa makan tengah hari bersendirian di dalam tandas kerana tiada kawan menjadi titik mula pada kesedaran tentang perbezaan antara luaran dan perasaan sebenar seseorang.

Sebelum mencetuskan bengkel tangisan, projek awal Terai ialah menganjurkan majlis perceraian bagi pasangan yang berpisah.

Terai menganjurkan majlis perceraian bagi pasangan yang berpisah. — Agensi

Dalam acara yang simboliknya melibatkan pemecahan cincin perkahwinan dengan penukul, ramai peserta mengakui, saat mereka menangis adalah detik paling melegakan.

Melihat kesan tangisan terhadap emosi manusia, Terai kemudian menubuhkan perniagaan bengkel tangisan pada 2013 di Tokyo.

“Orang ramai datang untuk menangis bersama-sama. Mereka akan berasa jauh lebih lega selepas itu.

Namun, cabaran terbesar ialah stigma terhadap lelaki yang menangis. Masyarakat anggap mereka lemah,” jelasnya.

Sebagai penyelesaian, beliau memperkenalkan bengkel tangisan yang dikendalikan oleh lelaki kacak, bukan hanya untuk menarik minat tetapi juga mengubah persepsi terhadap tangisan lelaki.

Lelaki-lelaki tersebut bukan sekadar memiliki wajah tampan, tetapi dilatih menjadi penyokong emosi yang berkesan, malah membantu peserta mengalirkan air mata mereka sendiri.

Asas perniagaan itu dibina atas kepercayaan rakyat Jepun tidak cukup menangis. Walaupun ada yang menganggap ia stereotaip, ramai peserta mengakui kebenarannya.

Bagi Terai, itu adalah misi utamanya.

“Saya mahu rakyat Jepun menangis bukan hanya di rumah, tetapi juga di tempat kerja. Tangisan di pejabat sering dipandang negatif seolah-olah anda lemah. Saya mahu ubah persepsi itu," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram