Dior di Kyoto: Fesyen sebagai jambatan antara budaya dan identiti


  • Relaks
  • Rabu, 23 Apr 2025

KOleksi ini diilhamkan dari manisfestasi hubungan kompleks antara silang budaya Timur dan Barat.

Dianjurkan di kompleks warisan di Kyoto, Jepun, Dior mempersembahkan koleksi musim luruh penuh puitis yang membawa perlambangan pertemuan budaya antara Timur dan Barat.

Koleksi ini direalisasikan oleh Pengarah Artistik Dior, Maria Grazia Chiuri, yang menjadikan tubuh wanita sebagai nadi rekaan dalam meneroka identiti, keinginan dan seni bina pakaian.

Chiuri menelusuri sempadan warisan dan masa depan melalui ekspresi budayayang seiring dengan warisan Christian Dior, sejak tahun 1957.

BACA LAGI: Pengguna lebih berhati-hati berbelanja, perang tarif AS-China jejas pemulihan industri barangan mewah

BACA LAGI: 'Smoothie' RM120, lobak RM100, Erewhon pasar raya kesihatan selebriti paling ‘in’ di LA

Jaket potongan klasik disarung bersama kimono tradisi, membentuk stail kontemporari yang unik tersendiri. 

Idea koleksi ini tercetus sewaktu perjalanan Chiuri ke Jepun, sewaktu lawatannya ke pameran Love Fashion: In Search of Myself, yang dianjurkan bersama oleh Kyoto Costume Institute dan Muzium Seni Moden Kyoto.

Pementasan Dior di Kyoto, Jepun penuh emosi, pertemuan dua budaya berbeza yang merungkai konteks emosi melalui ungkapan potongan dan fabrik.

Sewaktu Marc Bohan menduduki kerusi ketua pereka, Dior pernah membuat pertunjukan di Tokyo Jepun pada tahun 1971 dan pada hari ini, kesinambungan itu tetapi dirasai apabila Chiuri turut mengolah koleksinya berdasarkan pentas teater Jepun.

Jaket dan kot berpotongan luas, kadangkala bertali pinggang, menampilkan garis rekaan yang memeluk tubuh dengan kelembutan seolah-olah menyatukan struktur pakaian dengan keanggunan pergerakan.

Koleksi ini juga mempersembahkan seluar lebar dan skirt panjang yang beralun lembut seiring langkah, manakala sulaman emas dan corak flora mencetuskan naratif puitis tentang keinginan dan keindahan.

Chiuri mengangkat fesyen sebagai satu dialog aktif antara bentuk, budaya dan identiti kolektif. Dengan menghubungkan seni bina pakaian kepada warisan tekstil, koleksi ini mengundang penonton untuk merenung semula erti fesyen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram