MAJLIS anugerah kecemerlangan pelajar di sekolah sering dianggap sebagai acara kemuncak tahunan yang penuh dengan kebanggaan dan penghargaan.
Ia menjadi pentas untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar dan guru dalam pelbagai bidang, daripada akademik hingga kokurikulum.
Namun, di sebalik niat murni untuk meraikan kejayaan, sering timbul persoalan tentang sejauh mana keberkesanan dan keperluan majlis itu apabila ia dilaksanakan secara besar-besaran.
BACA LAGI : [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye
BACA LAGI : [VIDEO] Budak lelaki parah, melambung ke udara selepas bakar mercun dalam sistem pembetungan di China
Bagi seorang pengguna Facebook yang juga guru, Al Mumin Al Kanta berkata, keperluan untuk mengadakan majlis besar-besaran perlu dielakkan sebaliknya dilakukan secara sederhana.
Dia yang pernah menghadiri pelbagai majlis di dalam dan luar negara berkongsi pengalaman berbeza apabila menghadiri sebuah majlis yang dianjurkan oleh syarikat Jepun di sebuah hotel di ibu negara.
Menurutnya, majlis yang dirasmikan oleh seorang menteri pada ketika itu sangat sederhana.
"Tiada gimik besar-besaran seperti kompang, bunga manggar, atau tarian. Malah, ucapan orang kenamaan juga ringkas, kurang dari 15 minit.
"Majlisnya 'simple', gila. Tiada kompang dan bunga manggar. Tiada tarian singa apatah lagi tarian TikTok. Ada satu persembahan budak sekolah sahaja, tarian rampaian (mix) rasanya.
"Yang lamanya makan sebab makanan Jepun kan kecil-kecil. Jadi dihidang enam kali rasanya. Di situlah aku jumpa saintis-saintis ulung negara.
"Tetapi 'simple' majlis itu tidak pun menjejaskan ketinggian nilai anugerah yang disampaikan. Tidak... Ia tetap anugerah yang berprestij," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.
Majlis anugerah sekolah diadakan dengan hiasan pentas yang besar dan melibatkan kos tinggi, tetapi penerima utama seperti pelajar SPM dan STPM sering tidak hadir kerana sudah menyambung pelajaran. — Gambar Hiasan
Tambah Al Mukmin lagi, di Malaysia, kecenderungan 'membesar-besarkan' majlis sering berlaku.
"Contohnya, majlis anugerah sekolah diadakan dengan hiasan pentas yang besar dan melibatkan kos tinggi, tetapi penerima utama seperti pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sering tidak hadir kerana sudah menyambung pelajaran.
"Akhirnya, ibu bapa atau penjaga yang naik pentas menerima sijil," katanya.
Susulan itu, Al Mukmin mencadangkan supaya majlis anugerah seperti itu dipermudahkan.
"Anugerah boleh disampaikan dalam perhimpunan mingguan, sejurus selepas keputusan peperiksaan diumumkan. Dengan cara ini, pelajar yang diraikan dapat hadir, sementara pelajar lain yang dapat menyaksikan dan mendapat inspirasi.
“Raikan dengan sederhana. Tidak perlu bunga manggar atau pentas dihias seperti hutan. Pentingkan isi, bukan gimik,” katanya.
Menurut guru itu lagi, di Malaysia, ada kecenderungan untuk mengutamakan kemeriahan berbanding tujuan sebenar.
"Majlis yang besar mungkin memberikan kenangan, tetapi bukankah lebih baik jika ia dilakukan dengan keberkesanan dan kesederhanaan?
"Akhirnya, kita perlu kembali kepada nilai asal sebuah majlis yang menghargai, meraikan dan memberi inspirasi tanpa perlu membebankan tenaga kerja atau membazirkan sumber. Kesederhanaan adalah kunci untuk keberkesanan," ujarnya.
Setuju atau tidak, adakah semua elemen tersebut benar-benar diperlukan untuk menyampaikan penghargaan, atau sekadar menambah beban kepada penganjur dan kos kepada sekolah?
Inilah dilema yang sering dibincangkan oleh pendidik dan ibu bapa, terutamanya dalam konteks negara kita yang gemar membesar-besarkan majlis hingga melupakan intipati sebenar acara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram