Usia emas bukan penghalang, pasangan Jepun Aki & Koichi tak kekok OOTD, kongsi 'outfit inspo'


  • Relaks
  • Isnin, 21 Apr 2025

Pasangan dari Jepun ini membuktikan usia bukan penghalang untuk terus bergaya. — Instagram/@akiandkoichi

BAGI kebanyakan orang, waktu pencen dianggap sebagai masa untuk berehat dan menjalani hidup dengan tenang. Namun, pasangan dari Jepun iaitu Aki Kim dan Koichi Suzuki Kim membuktikan sebaliknya.

Walaupun sudah bersara, mereka menjalani hidup dengan penuh warna, menjadi perhatian ramai melalui gaya berpakaian yang unik dan tersusun dalam video Outfit of the Day (OOTD) di TikTok dan Instagram.

Kadang-kadang gambar dan video yang dikongsikan hanya berjalan berpegangan tangan di taman atau bergambar di luar rumah, namun pesona mereka tetap menarik perhatian warga maya. 

Yang menariknya, perjalanan mereka sebagai ikon media sosial tidak bermula di usia muda, sebaliknya bermula pada umur lingkungan 70 tahun. 

BACA LAGI: 'Semoga istiqamah', manis pakai bawal beraya di sekolah anak, ramai doakan Rita Rudaini bertudung

BACA LAGI: [VIDEO] Jubin bunga lambang status pemilik, tangga batu jadi identiti rumah tradisional Melaka

Aki dan Koichi sudah bersama selama lebih empat dekad.  Instagram/@akiandkoichi

Semuanya bermula apabila anak perempuan mereka, Yuri yang mahir dengan media sosial memuat naik video spontan ibu bapanya di TikTok. Tanpa diduga, video itu menjadi tular dalam masa sehari.

Sejak itu, Aki, 72, dan Koichi, 74, mula berkongsi kandungan secara konsisten, terutamanya foto gaya pakaian mereka di Instagram.

Kini, pasangan yang mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan dan pendidikan tersebut mempunyai pengikut setia dan sudah pun bekerjasama dengan jenama terkenal seperti Dior, Loewe, Comme des Garçons, Issey Miyake dan banyak lagi.

Pilihan warna

Gaya mereka sering dipuji kerana keunikan serta keberanian dalam bereksperimen, daripada penampilan santai yang kemas sehinggalah ke gaya jalanan yang lebih berani dan moden.

Menariknya, gaya mereka turut dikenali dengan pemilihan warna yang konsisten dan harmoni.

Pasangan terbabit gemar memilih rona earth tone seperti coklat, beige, hijau, kelabu dan krim, warna-warna yang bukan sahaja menyerlahkan kehangatan personaliti, tetapi juga memberikan sentuhan elegan dan matang seiring usia dan gaya hidup mereka.

Keserasian mereka jelas terpancar dalam setiap kandungan yang dikongsi.  Instagram/@akiandkoichi

Usia bukan penghalang

Memetik laporan majalah Elle, pasangan berkenaan sudah bersama selama lebih empat dekad dan mula berkenalan di Los Angeles, California Selatan, Amerika Syarikat (AS).

Mereka memulakan hubungan sebagai kawan baik sebelum kedua-duanya serius menjalinkan hubungan cinta. Keserasian mereka jelas terpancar dalam setiap kandungan yang dikongsi, menjadikan mereka sebagai inspirasi ramai dalam soal hubungan.

Interaksi mesra dan sokongan antara satu sama lain sering menjadi perhatian utama pengikut. 

Kehadiran Aki dan Koichi di media sosial juga mencetuskan perbincangan tentang peranan warga emas dalam budaya pop moden.

Aki dan Koichi tampil dalam pelbagai kempen fesyen barangan berjenama.  LinkedIn Sézane

Mereka membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bergaya, mencuba perkara baharu dan terlibat secara aktif dalam dunia digital.

Lebih membanggakan, pasangan tersebut turut menerima jemputan ke acara-acara fesyen antarabangsa dan muncul dalam editorial majalah gaya hidup terkemuka.

Dengan personaliti yang ceria, Aki dan Koichi bukan sahaja ikon fesyen, tetapi juga boleh menjadi contoh kepada orang ramai cara untuk mengekspresikan kasih sayang, kesederhanaan dan keberanian untuk menjadi diri sendiri.

Kini, mereka mempunyai 1.2 juta pengikut di Instagram dari seluruh dunia, malah ramai yang menjadikan mereka sebagai inspirasi bukan sahaja dalam soal fesyen, tetapi juga dalam cara melihat kehidupan dengan lebih positif dan terbuka.

 

 

Sementara itu, satu lagi pasangan warga emas yang mencuri perhatian dunia ialah Hsu Hsiu-e, 88, dan Chang Wan-ji, 89, dari Taiwan.

Mereka juga gemar bergaya sedondon, tetapi yang menariknya, mereka melakukannya menggunakan pakaian yang ditinggalkan pelanggan di kedai dobi mereka.

Dengan latar belakang dobi yang klasik dan idea spontan daripada cucu mereka, Reef, pasangan itu kini menjadi bintang Instagram dengan gaya hipster yang kreatif dan berani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram