Perlu saling melengkapi, Mimi Lana anggap perkahwinan bukan alasan wanita enggan berdikari 


  • Hiburan
  • Khamis, 08 Mei 2025

Mimi Lana (kanan) dan Melissa ketika menjayakan drama First Wives. — Instagram/missmimilana

PELAKON tinggi lampai, Mimi Lana menyifatkan sifat berdikari adalah penting dalam perkahwinan, meskipun dirinya kini memegang status isteri selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon popular, Syafiq Kyle pada 14 Februari lalu.

Mimi Lana, 30, yang kini muncul dalam drama bersiri aksi First Wives mengakui, watak Diyana yang dilakonkannya dalam siri tersebut serasi dengan kehidupannya kini.

Siri lapan episod itu turut menjadi projek utama pertamanya sejak melangsungkan perkahwinan.

BACA LAGI: 'Alhamdulillah, got married on a blessed Friday', Syafiq Kyle-Mimi Lana akhirnya 'jumpa' tarikh nikah

BACA LAGI: Mimi Lana teruja jumpa Tun M di bazar Ramadan Desa Pandan, komen Syafiq Kyle cuit perhatian warga maya

First Wives mengisahkan dua sahabat lama, Diyana (lakonan Mimi Lana) dan Michelle (Melissa Campbell), yang berdepan kekecewaan akibat pengkhianatan suami masing-masing. 

Diyana mendapati suaminya, Azzim (Malek McCrone) telah berkahwin secara rahsia, manakala Michelle pula ditinggalkan dalam belenggu hutang setelah kekasihnya, Roshan (Charles Roberts), berjudi sehingga habis semua simpanan mereka.

Kedua-dua wanita itu kemudian merancang untuk memecah masuk ke peti simpanan milik Azzim bagi mendapatkan wang demi menyelesaikan hutang Michelle. 

Mimi Lana berkata, fasa baharu sebagai isteri membuka banyak perspektif dalam hidupnya.

Namun, apabila rancangan itu gagal, mereka saling membantu agar tidak ditangkap pihak berkuasa.

Mimi mengakui dirinya lebih berasa sedih daripada marah terhadap watak Diyana yang dikhianati suami.

“Apabila wanita mencintai dengan sepenuh hati, mereka sanggup berkorban segalanya. 

"Cinta seperti itu memang indah tetapi juga menyakitkan apabila tidak dihargai,” ujar bintang drama Andai Tiada Dia itu.

Mengimbas kembali kisah percintaannya dengan Syafiq, Mimi Lana menjelaskan mereka pernah bertunang pada 2023 namun berpisah tujuh bulan kemudian, sebelum berdamai dan akhirnya bernikah tahun ini. 

Katanya, fasa baharu sebagai isteri membuka banyak perspektif dalam hidupnya.

“Baru sekarang saya sedar menjadi seorang isteri juga satu tanggungjawab besar dan kadangkala mencabar,” ujar Mimi Lana yang kini sedang menyesuaikan diri dengan peranan baharunya dalam rumah tangga.

Namun katanya, perkahwinan tidak seharusnya menjadi alasan untuk tidak berdikari, juga salah satu mesej penting yang turut dibawa dalam First Wives.

“Ramai wanita selepas berkahwin, terlalu bergantung kepada suami sehingga tidak tahu menguruskan hal-hal asas seperti membayar bil. 

"Berdikari bukan semata-mata soal kerjaya, ia melibatkan kemampuan untuk berdiri sendiri dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

Tambah pemilik nama lengkap Mimi Rozaiana Zainal Abidin Nordin itu lagi, dalam perkahwinan kedua-dua pihak perlu memainkan peranan aktif dan saling melengkapi, bukannya hanya menyerahkan segala-galanya kepada satu pihak.

Dalam rumah tangganya, Mimi Lana berkata, beliau dan Syafiq telah membincangkan batasan kerja sejak sebelum berkahwin dan mempunyai persefahaman jelas tentang perkara yang perlu dijaga.

Buat masa ini, Mimi Lana belum kembali ke set penggambaran dan memilih untuk memberi tumpuan kepada peranannya sebagai isteri.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar setakat ini. Kami baru dua bulan berkahwin. Doakan yang terbaik buat kami,” katanya, yang kali terakhir muncul dalam filem pecah panggung The Experts (2024) bersama Syafiq.

Beliau turut meluahkan rasa bangga terhadap mesej solidariti wanita yang diketengahkan dalam First Wives, berbeza dengan naratif stereotaip sering menunjukkan persaingan antara kaum wanita.

“First Wives bukan sekadar drama, ia adalah satu penghargaan kepada kekuatan dan keindahan ikatan antara wanita,” tulisnya dalam satu hantaran media sosial.

Berkongsi pengalamannya di set, Mimi Lana menyifatkan penggambaran bersama Melissa Campbell sebagai pengalaman menyeronokkan walaupun mereka bertutur dalam bahasa berbeza.

“Dia bercakap Inggeris, saya pula dalam bahasa Melayu, macam ayam dan itik tetapi kami betul-betul seronok sepanjang proses rakaman,” katanya yang pernah dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia 2021.  The Star/MUMTAJ BEGUM

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram