
MAJLIS perkahwinan pelakon Eyka Farhana dan pemain bola sepak Akhyar Rashid berlangsung dengan penuh intim dan eksklusif, namun turut mencuri perhatian ramai dengan kehadiran selebriti-selebriti yang menjadi pengiring pengantin atau 'dulang girls'.
Ketujuh-tujuh mereka tampil anggun dalam busana berona champagne yang direka khas oleh pereka tempatan pilihan masing-masing.
Walaupun busana mereka seragam dengan penggunaan lace yang sama, setiap satu berbeza dari segi kain dan rekaan, menyerlahkan gaya dan identiti peribadi setiap selebriti.
BACA LAGI: Ibu perlu sentiasa istighfar, jaga lisan sebelum marah anak, 'kena ingat mulut mak ini masin'
BACA LAGI: Enggan sasar pelanggan matang, Emma mahu bisnes kopinya mesra Gen Z
Alicia tampil kemas dan moden dengan potongan turtle neck dan butang berderet di hadapan.
1. Alicia Amin
Model dan pelakon, Alicia memilih busana rekaan Afiq M yang berpotongan moden.
Rekaan turtle neck dan butang di bahagian depan menjadikan penampilan Alicia nampak kemas dan moden, sesuai dengan imejnya sebagai model dan pelakon.
Mimi Lana mencuri perhatian dalam busana rona champagne rekaan Zaimi Zulkafli, lengkap dengan draping halus dan layer luar fabrik organza.
2. Mimi Lana
Mimi Lana yang juga pelakon mengenakan busana rekaan Zaimi Zulkafli yang tidak dapat dinafikan adalah antara paling menawan pada majlis itu.
Persalinannya dilengkapi dengan fabrik organza pada layer luar, menyempurnakan kesan draping yang elegan.
Kesan draping menyerlahkan sisi feminin dan klasik Mimi dengan potongan panjang yang kemas serta sentuhan elegan.
Yaya Zahir tampil anggun dalam busana rekaan Teruntum Putih.
3. Yaya Zahir
Pelakon dan pengacara, Yaya Zahir tampil anggun dengan busana rekaan Teruntum Putih yang menampilkan draping sepenuhnya pada bahagian badan.
Lace yang seragam digunakan dari bahu hingga ke lengan, menyerikan lagi penampilannya.
Shalma Aina menampilkan gaya minimalis yang elegan dalam rekaan Nadd Hassan.
4. Shalma Ainaa
Shalma Ainaa pula mengenakan rekaan Nadd Hassan, tampil dengan gaya minimalis.
Siluetnya yang sempurna mencerminkan peribadinya sebagai pemilik jenama fesyen.
Sophia tampil dalam busana berinspirasikan pakaian tradisional Thailand, lengkap dengan aksesori metalik di pinggang.
5. Sophia Liana
Ahli kumpulan De Fam, Sophia Liana memilih busana yang diinspirasikan oleh pakaian tradisional Thailand, membawa elemen seperti diraja.
Selain lace champagne yang seragam, Sophia turut menambahkan elemen metalik di keliling pinggangnya yang menaikkan lagi keseluruhan penampilannya.
Dengan rekaan yang unik dan sentuhan klasik, Sophia mempamerkan gaya yang memukau dan elegan.
Azira tampil menawan dalam busana elegan yang ringkas namun tetap manis.
6. Azira Shafinaz
Azira Shafinaz yang juga ahli kumpulan De Fam tampil menawan dalam busana potongan ringkas tetapi cukup mempesona.
Kain pleated yang digunakan menambah perincian tekstur yang unik, menjadikan gayanya tampak moden dan feminin, walaupun identiti perekanya tidak diumumkan.
Amelia mengenakan busana yang dipadankan dengan potongan 'cropped cardigan'.
7. Amelia Henderson
Pelakon Amelia Henderson mengenakan busana dipadankan dengan rekaan potongan seperti cropped cardigan yang menutup bahunya.
Gaya ini memberikan penampilan yang elegan dan bergaya, sambil mengekalkan keunikan dengan lace seragam yang digunakan.
Pun begitu, pereka busananya belum diumumkan.
Majlis perkahwinan Eyka dan Akhyar diadakan secara tertutup pada Jumaat dan hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat.
Pasangan ini bertunang pada 4 November tahun lalu selepas menjalinkan hubungan sejak 2020. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram