AWAM rai kejayaan wanita dalam kepimpinan, sambut 40 tahun advokasi pemerkasaan kaum Hawa


  • Massa
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Penganjuran pameran seni bertajuk 'A Canvas of Change: Awam's 40-Year Journey' akan berlangsung pada Oktober.

TAHUN 2025 merupakan satu pencapaian penting bagi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terkemuka di Malaysia iaitu Women’s Action Society (AWAM), yang memperjuangkan hak wanita dan kesaksamaan jantina.

Sempena ulang tahun ke-40, AWAM melancarkan satu siri acara di bawah tema Canvas of Change, bertujuan menghargai wanita yang telah berjuang membina serta membentuk Malaysia.

Penganjuran itu juga bagi memberi inspirasi kepada generasi untuk bersama-sama menggerakkan hala tuju memperkasakan kaum Hawa.

Bermula Mei, satu rangkaian forum, persembahan dan pameran seni akan menampilkan pemimpin wanita luar biasa daripada pelbagai latar belakang.

BACA LAGI: [VIDEO] Ada yang anggap sampah, Cikgu Khalid hayati roh lukisan 'anak-anak syurga'

BACA LAGI: [VIDEO] Hobi kumpul Pokemon TCG jadi kegilaan, anak jati Kelantan sanggup labur jutaan ringgit 

Presiden AWAM, Ho Yock Lin.

Presiden AWAM, Ho Yock Lin berkata, penganjuran acara itu tepat pada masanya untuk menghargai sumbangan golongan wanita di negara ini.

“Ia menyerlahkan pemimpin wanita yang bukan sahaja menguruskan organisasi malah tetap menjalankan tanggungjawab di rumah, dan mereka melakukan kedua-dua dengan jayanya,” kata Yock Lin.

Pada 10 Mei, Forum Hari Pekerja bertajuk 'From Boardrooms to Homefront: Women Leaders on Navigating Work, Leadership and Caregiving' akan membincangkan isu penting seperti kerja penjagaan tanpa bayaran, peranan jantina yang berubah-ubah serta cabaran dan kejayaan wanita dalam kepimpinan.

Panel penceramah termasuk bekas Ahli Parlimen, Nurul Izzah Anwar; pakar rantaian bekalan lestari, Datin Lorela Chia dari Persatuan Rantaian Bekalan Lestari & Inovasi Malaysia (MASSCI); dan aktivis hak Orang Kelainan Upaya daripada Make It Right Movement, Amanda Kong.

Komuniti yang disertai oleh golongan wanita tidak kira agama bangsa mahupun usia.

Seterusnya pada 16 Ogos, satu pertunjukan khusus piano akan diadakan dengan disertai pemain piano tempatan.

Antara yang membuat persembahan termasuk penerima biasiswa Doctor of Musical Arts (DMA) dari University of Oregon, Siew Yuet Yang, pemenang Hadiah Emas kategori Young Artiste di Pertandingan Piano Euroasia, Sheak Wen Qi.

Turut serta ialah Sheak Yu Tian, pemenang tempat kedua kategori Beethoven Sonata di Pertandingan Piano Antarabangsa Hong Kong 2023.

Pada bulan September pula, AWAM juga akan melancarkan sebuah buku potret menampilkan karya artis Malaysia, Hakim Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pencil Ninja.

Hakim telah meraih pengiktirafan di dalam dan luar negara, termasuk penghargaan dari Istana Buckingham atas potret Ratu Elizabeth II dan Raja Charles III.

AWAM sentiasa mengadakan aktiviti bersama wanita untuk memperkasa dan memperjuangkan hak wanita.

Kempen tersebut akan mencapai kemuncaknya pada bulan Oktober menerusi penganjuran pameran seni selama 16 hari bertajuk 'A Canvas of Change: Awam’s 40-Year Journey'.

Acara yang akan berlangsung dari 17 Oktober hingga 2 November itu mempamerkan 25 ilustrasi grafit yang merakam kisah wanita-wanita hebat dan visi mereka dalam membentuk masyarakat Malaysia.

Menurut Yock Lin, kesemua keuntungan akan disalurkan sepenuhnya kepada AWAM untuk menyokong misi pergerakan itu iaitu memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, membanteras keganasan berasaskan jantina serta memperkasa komuniti melalui pendidikan dan sokongan.

“Selama 40 tahun, perjalanan kami dipacu oleh visi bersama untuk sebuah masyarakat yang adil, selamat dan setara jantina. 

Kami menghargai setiap hati yang mempercayai perjuangan kami, dan semua tangan yang menyentuh dalam membantu membentuk laluan ini,” ujar Yock Lin.

Maklumat lanjut boleh layari www.awam.org.my atau ikuti @awammalaysia di Instagram. — TheStar/ MING TEOH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram