'A late bloomer', Sheikh Muszaphar kongsi perubahan anak ke-2 dari 'introvert' ke 'outspoken'


  • Relaks
  • Isnin, 28 Apr 2025

Sheikh Muszaphar berkongsi perkembangan terbaharu anak keduanya, Sophea Natasha (kanan) yang ketika ini berusia 12 tahun.

MEMAHAMI minat anak sejak usia awal menjadi salah satu langkah penting ibu bapa dalam membentuk masa depan mereka yang lebih cerah.

Dalam era serba moden ini, pelbagai platform seperti program kokurikulum, bengkel kreatif dan kelas dalam talian berupaya untuk membantu mengenal pasti dan menyokong minat si kecil bermula dari peringkat sekolah rendah.

Merupakan antara figura yang cakna tentang hal itu, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 52, sentiasa memantau perkembangan pendidikan dan kebolehan anak-anaknya.

BACA LAGI: [VIDEO] Trend 50/50 lepas kahwin, UAI tegaskan isteri tak wajib keluar satu sen pun walaupun bergelar jutawan

BACA LAGI: 4 anak Sheikh Muszaphar cemerlang peperiksaan bahasa Inggeris di Korea Selatan, raih pingat berlian, emas dan gangsa

Tidak terbatas hanya dalam bidang akademik, bapa kepada tujuh orang anak itu sentiasa mengutamakan skil komunikasi dan semangat kesukanan bagi menonjolkan kebolehan anak-anaknya di tahap maksimum.

Sheikh Muszaphar dan isteri dikurniakan tujuh cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga pada 2010.

Terbaharu, Sheikh Muszaphar berkongsi perkembangan anak keduanya, Sophea Natasha, 12, yang kini semakin gemar meneroka dan mencabar perkara-perkara baharu dalam hidupnya.

Asalnya merupakan seorang introvert, peralihan dari usia kanak-kanak ke alam remaja melihatkan anaknya bersemangat dan aktif dalam aktiviti di sekolah di samping memiliki keyakinan yang lebih tinggi.

"Tasha sentiasa bersifat introvert, suka memendam, sangat selektif pada kawan, memilih dan defensif.

"Sekarang pada usia 12 tahun, semuanya berubah, dia lebih lantang, ramai kawan, sangat gembira, lebih ceria, aktif di sekolah, semua aktiviti nak join, I’m still trying to figure out what makes her tick," katanya menerusi laman Instagram pada Isnin.

 

 

Biarpun perkembangan itu sedikit lewat berbanding anak-anaknya yang lain, bekas angkawasan negara itu nyata cukup lega apabila ia tiba pada waktu yang tepat.

Sheikh Muszaphar berharap agar Tasha mampu terus mencipta kejayaan di peringkat sekolah selain turut menegaskan kepentingan untuk sentiasa berdaya saing dalam kalangan yang terbaik.

"Dah Darjah 6 ni, kena 'pulun' habis, PAJSK kena top, exam kena cemerlang, UASA & UPSRA, PKSK dan UKKM, kokurikulum kena hebat, persaingan begitu tinggi dan hanya yang terbaik akan terpilih," tambahnya.

Terdahulu, Tasha turut mencipta kejayaan dalam acara larian di kejohanan Superhero Track & Field Championship 2025 apabila mengungguli tempat pertama bagi kategori 1,200 meter (m) dan 4x200 m.

Turut memahat sejarah di peringkat antarabangsa, Tasha dan empat lagi adiknya turut mencatat keputusan cemerlang pada penyertaan pertandingan Bahasa Inggeris antarabangsa, Global English Language Olympiad Southeast Asia (GELOSEA) di Incheon, Korea Selatan.

Tasha meraih pingat emas bagi kategori enam peringkat rendah (Gred 1 hingga 6) manakala tiga lagi adiknya masing-masing mencatat keputusan berlian dan gangsa pada April lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram