Bertemakan 'Superfine: Tailoring Black Style', Met Gala 2025 julang pereka muda ke pentas global


  • Relaks
  • Selasa, 06 Mei 2025

Met Gala 2025 bertemakan 'Superfine: Tailoring Black Style' mencuri perhatian seluruh peminat fesyen dari serata dunia. - Gambar Agensi

NAMA Jacques Agbobly mungkin belum cukup dikenali di pentas arus perdana, namun pereka muda dari Brooklyn ini kian melakar sejarah apabila dua rekaannya dipilih untuk dipamerkan dalam pameran 'Superfine: Tailoring Black Style' sempena Met Gala 2025 di Muzium Seni Metropolitan (The Met), New York, Amerika Syarikat (AS).

Agbobly yang baru berkecimpung dalam industri fesyen selama lima tahun, menyifatkan jemputan itu sebagai satu pengalaman cukup berharga. 

"Saya terpaksa menyemak beberapa kali untuk pastikan e-mel itu betul," katanya dengan nada gembira usai menerima tawaran tersebut.

BACA LAGI: 'Setiap jahitan, rekaan Davika inspirasi imej wanita hebat', Alia Bastamam teruja reka busana buat ratu skuasy negara

BACA LAGI: [VIDEO] Dari bakeri ke seni lukis, suri rumah jana pendapatan melalui skil conteng kereta berkonsep komik

Dilahirkan dan dibesarkan di Togo, Afrika Barat, minat Agbobly terhadap fesyen tercetus selepas melihat hasil jahitan tukang jahit di kampung halamannya yang banyak menghasilkan busana indah buat keluarganya.

Kini, impian zaman kanak-kanaknya untuk menjadi sebahagian daripada Met Gala akhirnya menjadi kenyataan.

Antara rekaan fesyen dipamerkan pada  pameran 'Superfine: Tailoring Black Style', Met Gala 2025.

 

'Superfine: Tailoring Black Style' merupakan pameran pertama oleh Institut Kostum The Met yang memberi fokus sepenuhnya kepada pereka kulit hitam yang menampilkan rekaan pakaian lelaki.

Ia menonjolkan pereka terkenal dan juga pendatang baharu seperti Agbobly yang menampilkan karya cerminan identiti masyarakat Afrika melalui sejarah dan kedudukan geografi negara itu.

Menurut Agbobly, imej pakaian bukan sekadar gaya, tetapi satu lambang identiti dan penentangan terhadap persepsi stereotaip masyarakat di luar sana.

Salah satu rekaannya yang dipamerkan ialah sut denim berhias kristal dan manik, diinspirasikan daripada kenangan di salun rambut zaman kanak-kanaknya serta aksesori wanita Afrika Barat.

Sebuah lagi busana rekaannya pula menggunakan tona warna terang daripada beg Afrika, sebagai penghormatan kepada perjalanan nenek moyangnya.

"Sebagai seorang pereka kulit hitam, saya percaya imej dan identiti melambangkan kehadiran dan kekuatan kami," katanya.

Dalam pada itu, pameran tersebut yang dibuka kepada umum pada 10 Mei nanti dijangka menarik perhatian bukan sahaja peminat fesyen, malah individu yang meminati sejarah dan budaya yang jarang dipamerkan di pentas utama.

Bagi Agbobly, peluang itu bukan sekadar satu pencapaian, malah satu langkah berani diambil demi menampilkan bakat serta kreativiti dimiliki dalam rekaan fesyen. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram