
SABAN tahun, tarikh 11 Mei menjadi tanda ingatan buat seluruh wanita bergelar ibu sedunia atas jasa dan pengorbanan mereka.
Bukan satu perayaan, namun ia lebih kepada konsep penghargaan pada setiap ibu di luar sana atas kasih sayang tidak berbelah bahagi dicurahkan dan terhitung jasanya kepada anak-anak.
Di usia yang semakin mendewasa, tidak ramai yang masih berpeluang untuk menjalin kasih bersama bonda tercinta apabila segelintir daripadanya sudah pun dijemput ilahi.
Namun, bagi mereka yang masih mempunyai ibu, kesempatan itu menjadi detik manis untuk menghargai setiap momen dan masa terluang di samping seisi keluarga dengan apa jua cara.
Bahkan, ungkapan 'syurga di bawah telapak kaki ibu' membawa seribu satu gambaran betapa penting dan besarnya pahala menggembirakan ibu selagi nyawa menghembus di dunia.
Nilai kasih dan cinta itu boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang wanita hebat, Datin Norsyela Jaafar, 48, yang sentiasa menghargai insan bergelar ibu.
Norsyela Jaafar menzahirkan penghargaan buat ibunya sempena Hari Ibu.
Merupakan Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi di Encorp Berhad, beliau sentiasa mengutamakan ibunya biarpun sibuk dengan urusan kerja seharian.
Jelasnya, ketegasan dan disiplin diterapkan ibunya sejak dari kecil membentuk siapa dirinya pada hari ini.
"Mak saya sebenarnya seorang yang sangat caring tapi sangat tegas bila dalam soal pelajaran, mak dan ayah sangat straight dan disiplin bila pantau pelajaran anak-anak.
"Saya rasa kalau mak saya tak garang memang saya tak akan jadi 'orang' hari ini, mak seorang yang boleh buat macam-macam, memasak, menjahit, jadi saya pun banyak ikut mak dalam soal kekemasan ni.
"Memang itu yang saya kekalkan dalam mendidik anak sendiri, disiplin nombor satu, tak mudah membentuk anak di zaman sekarang yang serba canggih tapi mak banyak pengaruh cara didikan saya dan suami untuk anak," katanya dalam satu sesi temu bual eksklusif bersama Majoriti.
Norsyela (kiri) sentiasa mengutamakan ibunya, Wira Salbiah walaupun sibuk dengan kerja seharian.
Dalam pada itu, beliau yang telah menyumbang banyak kepada pengiktirafan Encorp Berhad itu sentiasa membahagikan masa sebaiknya bersama ibunya walaupun sibuk dengan jadual kerja yang sangat padat.
Akui bukan perkara mudah untuk menjaga keluarga, pada masa sama memikul tanggungjawab besar di ruang pejabat, Norsyela mengambil pendekatan untuk sentiasa 'mencuri' masa untuk menemani ibunya di hujung minggu.
"Hujung minggu memang saya akan luangkan masa bersama mak, teman dia ke pasar raya beli barangan dapur ataupun sarapan dan sebagainya.
"Nasib baik juga mak saya duduk dekat sekitar kawasan rumah saya juga, kadang-kadang nak makan tengah hari di luar kami akan pergi bersama contoh nak makan Japanese food ke, itu salah satu cara saya luangkan masa dengan mak.
"Setiap apa juga yang saya buat mesti akan ingat mak, begitu juga apa yang diajar arwah ayah dahulu, sangat pentingkan masa bersama keluarga dan sekarang kalau ada sambutan hari jadi adik beradik yang lain, kami akan berkumpul sama-sama spend time," ujarnya.
Datin Wira Salbiah Dawam
Biarpun berumur 88 tahun, sosok tubuh bekas tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Petaling, Petaling Jaya, Selangor itu langsung tidak menggambarkan usianya.
Bersyukur kerana dianugerahkan enam cahaya mata yang sangat menghormati dan menyayanyi ibu bapa, beliau yang lebih mesra disapa Salbiah itu memuji keperibadian dimiliki Norsyela.
Katanya, zaman kanak-kanak Norsyela merupakan seorang yang sangat ceria dan amat meminati patung permainan.
Wira Salbiah sering meluangkan masa makan dan bersarapan bersama Norsyela.
"Dia ceria orangnya tapi pasal dorongan saya yang someone straight to the point Shela (Norsyela) pun jadi dengar kata, dia banyak main barbie doll, koleksi mainan semua dia suka simpan.
"Tapi sangat bagus dalam pelajaran, habis tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dia terus sambung belajar di luar negara sama macam abang-abang dia yang lain.
"Saya tak letakkan harapan tinggi sangat dan tak paksa, tapi bab akademik memang penting dan
semua anak saya kata mesti ada sekurang-kurangnya degree," ujarnya.
Penghargaan ibu
Sempena Hari Ibu, Nosyela turut menzahirkan ucapan istimewa buat bonda tercintanya, Wira Salbiah yang disifatkan sebagai inspirasi dan idola sepanjang hayat.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada ibu saya, Salbiah Dawam, terima kasih mak mendidik, membesarkan saya seperti sekarang ni.
"Kalau tanpa ibu, siapalah saya? Ibu sebenarnya seorang yang sangat caring, jadi saya sebenarnya nak ikut seperti ibu saya.
"Ibu saya pandai masak, pandai mengemas, pandai jaga suami, pandai jaga anak-anak, so saya sebagai ibu ni, dia adalah idola saya sebenarnya," jelasnya.
Sekadar info, sejak menyertai Encorp Berhad pada 2017, Norsyela telah memainkan peranan penting dalam merumuskan dasar serta memperkukuh budaya organisasi syarikat.
Di bawah kepimpinannya, Encorp telah menerima pengiktirafan sebagai salah satu syarikat terbaik untuk bekerja di Asia oleh HR Asia pada 2017 dan 2018, serta Anugerah Perak untuk Majikan Pilihan (Sektor Swasta) dalam Anugerah Sumber Manusia Malaysia yang dianjurkan oleh Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram