Awasi perubahan anak, 5 petanda awal ibu bapa boleh kesan jika remaja dibuli di sekolah


  • Relaks
  • Isnin, 05 Mei 2025

Isu buli dalam kalangan remaja sekolah kerap berlaku kebelakangan ini. — Gambar hiasan/Freepik dijana oleh AI

KEBELAKANGAN ini, kes buli melibatkan pelajar institusi pendidikan berasrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerap kali menghiasi dada akhbar negara.

Bagaikan tradisi di sekolah asrama, golongan pelajar baharu ataupun junior sering kali menjadi mangsa keganasan bahkan, ada sebahagian daripadanya berakhir dengan kes kematian.

Terbaharu, negara digemparkan dengan insiden buli melibatkan seorang pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) di GiatMara Durian Tunggal, Melaka yang dipukul beramai-ramai dalam sebuah bilik.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari bakeri ke seni lukis, suri rumah jana pendapatan melalui skil conteng kereta berkonsep komik

BACA LAGI: [VIDEO] Trend 50/50 lepas kahwin, UAI tegaskan isteri tak wajib keluar satu sen pun walaupun bergelar jutawan

Namun, siasatan polis mendapati bahawa kejadian itu berlaku sekitar Februari lalu semua pelajar terlibat telah dipanggil dan membuat permohonan maaf kepada mangsa.

Seorang remaja OKU menjadi mangsa buli di GiatMara Durian Tunggal, Melaka pada Februari lalu.

Dalam isu ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mengenal pasti petanda-petanda awal anak dibuli di sekolah.

Segelintir mangsa buli akan memilih untuk merahsiakan perkara itu ekoran tekanan ataupun desakan daripada si pelaku namun, ia perlu diatasi sebaiknya bermula dari peringkat awal.

Berdasarkan kajian pakar antarabangsa, berikut merupakan antara simptom utama dan perubahan dihadapi remaja yang berdepan isu buli di sekolah.

1. Perubahan tingkah laku mendadak

Mangsa buli kebiasaannya akan lebih gemar bersendirian dan mengasingkan diri daripada khalayak ramai ekoran tekanan serta stres mental dihadapi.

Bahkan, segelintir daripadanya juga akan bertindak agresif dan bertukar panas baran sekiranya disoal lanjut tentang isu dibuli.

2. Enggan ke sekolah

Sekolah yang sepatutnya menjadi pusat pengajian kini bertukar mimpi ngeri buat mangsa buli.

Hal itu memaksa golongan terbabit untuk memonteng sekolah demi mengelak daripada terserempak dengan si pembuli yang berkemungkinan besar boleh mencetuskan kejadian sama berulang.

Lebih parah apabila prestasi akademik juga boleh terkesan sama kerana boleh meruntuhkan semangat mangsa untuk belajar walaupun asalnya merupakan pelajar cemerlang di sekolah.

3. Tidur tak lena

Isu paling kritikal dihadapi mangsa buli adalah apabila mereka berdepan kesukaran untuk tidur di malam hari.

Kesannya, mereka akan kelihatan lesu dan tidak bermaya di pagi hari kerana gangguan waktu tidur yang menjejaskan jadual seharian.

Ia sekali gus mengundang isu kesihatan mental ataupun anxiety disorder yang juga boleh menyebabkan penurunan berat badan drastik dalam tempoh masa singkat.

4. Kesan lebam ataupun kecederaan fizikal

Paling mudah untuk dikenal pasti, kesan kecederaan pada mangsa akan jelas kelihatan melalui pergerakan dan bahasa tubuh mereka yang mungkin sedikit janggal daripada kebiasaan.

Balutan bandage ataupun luka berdarah menjadi bukti utama jika seseorang itu dibuli di sekolah.

5. Kerap sakit kepala

Simptom sakit kepada dan perut merupakan kesan drastik boleh dihadapi setiap mangsa buli.

Kecederaan fizikal dialami bukan sahaja meninggalkan kesan luaran, malah kesihatan dalaman juga turut terjejas sekiranya tidak diberikan perubatan yang sebaiknya.

Namun, kedua-duanya juga dalam masa sama boleh dijadikan sebagai alasan untuk mangsa mengelak daripada berjumpa orang ramai kerana ia merupakan isu kesihatan paling mudah untuk dipalsukan.

Dalam pada itu, ibu bapa perlu segera mengambil tindakan sekiranya anak-anak berdepan dengan situasi di atas.

Bukti dan saksi kejadian kes buli harus segera dikemukakan kepada pihak polis. — Gambar hiasan

Langkah utama boleh dilakukan sekiranya tergolong dalam kalangan mangsa buli adalah mendapatkan bukti dan saksi kejadian untuk dilaporkan ke pihak polis.

Usai laporan dibuat, sebaiknya ibu bapa mendapatkan khidmat nasihat dan pantauan kaunseling buat anak demi memulihkan kembali semangat mereka.

Hal itu juga diyakini mampu menjadikan mereka lebih berdikari dan tegas dalam isu buli selain mengelak daripada sebarang isu trauma berpanjangan.

Justeru, kes yang berlaku di sekolah berasrama kebelakangan ini membuktikan keperluan mendesak bagi pihak institusi untuk menyediakan sistem pelaporan mesra mangsa, tindakan segera yang telus, serta program pendidikan anti-buli konsisten.

Sekolah bukan hanya tempat akademik tetapi ruang membentuk karakter, maka bila keselamatan pelajar terjejas, tanggungjawab institusi seharusnya tidak memandang ringan isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram