
VAKSINASI bukan lagi sekadar langkah pencegahan untuk kanak-kanak, sebaliknya merupakan keperluan kesihatan awam yang penting bagi semua peringkat umur, terutama warga emas.
Dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit dan gelombang penuaan penduduk, pakar kesihatan menegaskan bahawa imunisasi sepanjang hayat perlu menjadi agenda utama negara bagi melindungi golongan berisiko serta mengurangkan beban sistem kesihatan negara.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan, Taylor’s University, Dr Wong Chuan Loo, berdasarkan laporan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2024, Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2050 apabila jumlah warga emas melebihi populasi kanak-kanak.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan, Taylor’s University, Dr Wong Chuan Loo
Sehubungan itu, negara perlu beralih daripada tumpuan eksklusif kepada vaksinasi kanak-kanak kepada strategi imunisasi sepanjang hayat bagi menghadapi gelombang penuaan penduduk.
Ujarnya, keadaan itu juga menuntut pelaksanaan strategi kesihatan awam yang menyeluruh, termasuk vaksinasi untuk golongan dewasa dan warga emas.
"Ketika ini, lebih 90 peratus kanak-kanak Malaysia menerima vaksinasi untuk 13 penyakit di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).
"Namun, ramai dewasa dan warga emas masih terdedah kepada penyakit berjangkit seperti influenza, pneumonia dan kayap," katanya dalam satu kenyataan kepada Majoriti.
Beliau berkata, kos rawatan akibat influenza sahaja mencecah RM3.3 bilion setahun dan kebanyakannya melibatkan warga emas yang tidak divaksin.
"Dalam masa sama, kanser serviks kekal sebagai penyebab ketiga kematian tertinggi dalam kalangan wanita Malaysia, meskipun vaksin Human Papillomavirus (HPV) ditawarkan percuma kepada remaja perempuan sejak 2010," ujarnya lagi.
Kanser serviks kekal sebagai penyebab ketiga kematian tertinggi dalam kalangan wanita Malaysia. — Gambar Hiasan/Agensi
Tambah beliau lagi, walaupun NIP menyediakan imunisasi percuma untuk kanak-kanak, vaksin penting seperti bagi cacar air, denggi, Covid-19, Hepatitis A, meningokokus, influenza dan rotavirus hanya boleh didapati di fasiliti swasta dengan bayaran tertentu.
Senario itu sekali gus mewujudkan jurang akses, terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah dan warga emas.
Menurut Chuan Loo, pandemik Covid-19 turut memburukkan jurang imunisasi global, dengan lebih 100 juta dos vaksin dewasa tidak diberikan pada 2021 dan 2022.
Manfaat kesihatan dan ekonomi
Kajian menunjukkan vaksin bukan sahaja mencegah penyakit, malah meningkatkan kualiti hidup.
Program imunisasi influenza kebangsaan untuk warga emas diunjurkan dapat mencegah lebih 66,000 kes dan 3,000 kemasukan ke hospital setiap tahun.
Pengambilan vaksin dalam kalangan dewasa masih lagi rendah dalam kalangan dewasa rakyat Malaysia. — Gambar Hiasan/Agensi
Di samping itu, suntikan flu dapat mengurangkan risiko kemasukan hospital sebanyak 54 peratus bagi pesakit diabetes, manakala vaksin pneumokokal dapat mengurangkan risiko pneumonia sebanyak 41 peratus dan kematian akibat penyakit jantung sebanyak 22 peratus.
Bagaimanapun, kadar pengambilan vaksin dewasa kekal rendah.
Kajian 2023 mendedahkan hanya lima peratus warga emas melaporkan menerima suntikan influenza, meskipun hampir separuh kakitangan kesihatan pernah mengambil cuti sakit akibat selesema.
Cabaran utama yang dikenal pasti:
1.Jurang Polisi: Tiada perlindungan vaksin dewasa dalam NIP.
2. Halangan Akses: Klinik luar bandar kerap kehabisan stok, manakala penduduk bandar terhalang oleh kekangan masa dan mobiliti.
3. Keraguan Vaksin: Mitos berkaitan keselamatan, kesan sampingan dan status halal masih berleluasa.
4. Maklumat Palsu: Media sosial menyebar pseudoscience termasuk ‘vaksin homeopati’.
5. Jurang Profesional Kesihatan: Ada petugas kesihatan yang kurang terlatih atau tidak menyokong vaksinasi dewasa.
Cadangan Strategi Nasional
Negara perlu beralih daripada tumpuan eksklusif kepada vaksinasi kanak-kanak kepada strategi imunisasi sepanjang hayat bagi menghadapi gelombang penuaan penduduk. — Gambar Hiasan/Agensi
Jelas Chuan Loo, sekiranya isu-isu tersebut tidak ditangani, kos penjagaan kesihatan warga emas boleh mencecah RM21 bilion menjelang 2040.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pelaksanaan Strategi Vaksinasi Sepanjang Hayat Kebangsaan merangkumi:
1. Akses Sejagat: Perluaskan NIP bagi meliputi vaksin influenza, pneumokokal dan HPV kepada semua jantina, disubsidi melalui cukai dosa atau kerjasama awam-swasta.
2. Ketelusan Data: Lancarkan papan pemuka AEFI awam bagi melawan mitos kesan sampingan vaksin.
3. Rekod Digital: Wujudkan e-registry nasional bagi pemantauan dan peringatan vaksin.
4. Kempen Kesedaran: Latih petugas kesihatan sebagai pendukung vaksin dan libatkan pemimpin agama untuk tangani isu halal serta maklumat salah.
5. Tanggungjawab Korporat: Tawarkan insentif cukai kepada majikan yang menyediakan vaksinasi influenza kepada pekerja, yang mampu menjimatkan sehingga RM90.30 setahun bagi setiap pekerja.
Menutup bicara, Chuan Loo menegaskan vaksin perlu dilihat bukan sekadar keperluan kanak-kanak, tetapi sebagai pelaburan sepanjang hayat dalam kesihatan, produktiviti dan ketahanan negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram