Jaga ibu bapa uzur, hidup lebih lama antara faktor wanita kurang 'saving' berbanding lelaki — Penasihat kewangan


  • Bizz
  • Isnin, 28 Apr 2025

Kos perubatan yang semakin meningkat dan keadaan kesihatan yang tidak menentu menjadi faktor risiko terbesar golongan wanita dalam merancang kewangan untuk persaraan. — Gambar Hiasan/JanaanAi

PERBEZAAN ketara dalam simpanan persaraan antara lelaki dan wanita terus menjadi isu utama dalam perancangan kewangan negara. 

Walaupun semakin ramai wanita kini semakin peka mengenai pentingnya merancang kewangan jangka panjang, banyak cabaran yang masih menghalang mereka daripada mencapai simpanan yang mencukupi untuk kehidupan persaraan yang selesa. 

Menurut Penasihat Kewangan di VKA Wealth Planners, Shen Yee Ling menerusi rancangan audio siar (podcast) Ringgit & Sense di sebuah rancangan BFM Radio baru-baru ini berkata,  jurang tersebut berpunca daripada pelbagai faktor. 

BACA LAGI : Pelajar subjek cemerlang SPM hampir dibuang sekolah meninggal dunia, guru kongsi kisah menyentuh hati

BACA LAGI : ‘Mama reda nak’, ibu pasrah jasad Muhd Aniq Faiz akhirnya ditemukan tersangkut di tebing sungai Tamparuli

"Selain daripada tanggungjawab terhadap keluarga yang sering menyebabkan wanita terpaksa berhenti bekerja sementara, ketidakseimbangan pendapatan antara lelaki dan wanita turut memberi impak besar kepada jumlah simpanan persaraan mereka. 

"Lebih memburukkan keadaan, wanita cenderung untuk hidup lebih lama berbanding lelaki, menyebabkan keperluan untuk jumlah simpanan yang lebih besar dalam persaraan," katanya. 

Shen Yee Ling menjelaskan bahawa banyak wanita yang berhenti bekerja untuk menjaga anak atau ibu bapa yang uzur, mengurangkan peluang mereka untuk menambah simpanan dalam KWSP. 

"Walaupun ada yang kembali bekerja selepas tempoh tersebut, jumlah simpanan mereka masih kurang berbanding lelaki yang tidak berhenti bekerja," ujarnya lagi. 

Penasihat Kewangan VKA Wealth Planners, Shen Yee Ling

Meskipun demikian, beliau turut melihat peningkatan dalam kalangan wanita yang memilih untuk kekal bekerja dan memberi tumpuan kepada perancangan kewangan mereka dengan lebih serius.

Berbicara mengenai jumlah simpanan yang diperlukan untuk menikmati kehidupan persaraan yang selesa, Shen Yee Ling memberi contoh bahawa seseorang yang memerlukan RM5,000 sebulan untuk menampung kehidupan.

Jelasnya lagi,  merancang untuk bersara selama 20 tahun memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta dalam simpanan persaraan, dengan andaian inflasi pada kadar tiga peratus dan pulangan pelaburan sekitar lima peratus. 

Walau bagaimanapun, Shen Yee Ling memberi amaran bahawa kos perubatan yang semakin meningkat dan keadaan kesihatan yang tidak menentu menjadi faktor risiko terbesar dalam merancang kewangan untuk persaraan.

Walaupun wanita dilihat lebih berhati-hati dalam hal kewangan, keutamaan mereka sering terarah kepada tanggungjawab keluarga, menyebabkan mereka lebih sukar untuk mengumpul jumlah simpanan yang lebih tinggi. 

"Wanita lebih cenderung untuk memberikan keutamaan kepada keluarga dan simpanan kecemasan, sedangkan pelaburan agresif sering terabai. Faktor ini menyebabkan potensi pertumbuhan kekayaan mereka terbatas,” kata Shen Yee Ling.

Menurutnya, budaya dan norma sosial yang mengutamakan peranan wanita sebagai penjaga keluarga turut mempengaruhi pilihan mereka dalam merancang kewangan. 

Golongan wanita perlu bijak memantau matlamat kewangan mereka dan membuat semakan secara berkala untuk memastikan perancangan tersebut selaras dengan keperluan semasa. — Gambar Hiasan

Walaupun begitu, Shen Yee Ling mengakui bahawa trend ini semakin berubah dengan wanita kini semakin memilih untuk membina kerjaya dan mencapai kebebasan kewangan sebelum memulakan keluarga. 

Kos kehidupan yang tinggi dan tanggungjawab terhadap anak-anak juga menjadi antara faktor yang mendorong wanita untuk menangguhkan perkahwinan dan keibuan.

Dalam menghadapi cabaran ini, Shen Yee Ling menasihati wanita agar memulakan perancangan kewangan seawal mungkin dengan memastikan mereka memiliki dana kecemasan yang mencukupi dan sentiasa mengutamakan simpanan sebelum berbelanja. 

Selain itu, beliau menegaskan kepentingan untuk wanita memantau matlamat kewangan mereka dan membuat semakan secara berkala untuk memastikan perancangan tersebut selaras dengan keperluan semasa.

Untuk wanita yang bekerja dalam ekonomi gig atau freelance, Shen Yee Ling menggalakkan mereka untuk mencarum KWSP secara sukarela.

Walaupun tidak diwajibkan, sumbangan tersebut amat penting untuk memastikan mereka mempunyai simpanan persaraan yang kukuh.

Golongan wanita  yang bekerja dalam ekonomi gig atau freelance digalakkan untuk mencarum KWSP secara sukarela. — Gambar Hiasan

Meskipun wanita semakin menunjukkan kesedaran terhadap perancangan kewangan, Shen Yee Ling mengingatkan bahawa cabaran terbesar tetap terletak pada pengurusan kewangan yang berkesan dan membuat keputusan yang bijak. 

"Wanita perlu lebih berani untuk merancang bagi masa depan mereka. Jangan takut untuk merancang demi diri sendiri," katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga mencadangkan agar wanita yang kembali bekerja selepas tempoh berhenti memberi perhatian terhadap peningkatan kemahiran dan pengembangan jaringan profesional untuk memudahkan proses penyesuaian semula dalam dunia pekerjaan.

Dengan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan wanita, serta langkah-langkah kewangan yang lebih terancang, Shen Yee Ling optimis bahawa jurang simpanan antara lelaki dan wanita dapat dikurangkan pada masa hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram