Sempat larikan diri ke pondok pengawal, remaja hampir diculik ketika berjoging di Shah Alam


  • 112
  • Selasa, 29 Apr 2025

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun nyaris menjadi mangsa culik oleh dua individu tidak dikenali semasa sedang berjoging secara bersendirian di Seksyen 13 dekat Shah Alam pada Isnin.  — Gambar Hiasan

SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun berdepan pengalaman menakutkan apabila nyaris menjadi mangsa culik dua individu tidak dikenali semasa sedang berjoging secara bersendirian di Seksyen 13 dekat Shah Alam, Selangor. 

Kejadian yang berlaku pada waktu petang Isnin itu berjaya digagalkan apabila mangsa melawan dan melarikan diri ke pondok pengawal berhampiran bagi mendapatkan bantuan. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang berusia 15 tahun pada pukul 10.42 malam Isnin.

BACA LAGI : [VIDEO] Pemancing tergelincir jatuh Sungai Ring ditemukan tak bernyawa hampir 1km dari lokasi lemas

BACA LAGI : [VIDEO] Guru maut ketika beraksi di litar lumba Melaka

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim

Katanya, dalam kejadian pada pukul 5.15 petang itu, mangsa sedang berjoging seorang diri sebelum didatangi sebuah kereta lama berwarna kelabu dipercayai jenis Proton Saga atau Iswara yang dinaiki dua lelaki.

"Salah seorang suspek kemudian turun dari kereta lalu mengacukan pisau dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta.

"Pengadu enggan dan bergelut dengan suspek sebelum berjaya melarikan diri ke pondok pengawal kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan pada Selasa. 

Beliau berkata, akibat pergelutan itu, remaja berkenaan mengalami kecederaan kesan luka pada pipi sebelah kanan serta luka di bahagian lengan kanan dan kiri.

Katanya, pengadu sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram