
SUSULAN pendedahan bahawa seramai 84,025 calon gagal dalam subjek Matematik dalam Laporan Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, pelbagai pihak tampil menyuarakan pandangan agar perubahan sistematik dilaksanakan di peringkat awal pendidikan.
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Menteri, Fadhlina Sidek, memaklumkan intervensi segera akan dilaksanakan bagi semua subjek yang mencatatkan penurunan prestasi ketara, termasuk Matematik.
"Pihak KPM akan melaksanakan pelbagai pendekatan intervensi terhadap subjek yang menunjukkan penurunan, termasuk menerusi strategi pengajaran dan pembelajaran," katanya pada Selasa.
BACA LAGI : Dari hujah mahkamah ke doa liang lahad, Siti Rasidah teruskan legasi ibu galas tugas uruskan jenazah
Namun begitu, langkah intervensi itu dilihat tidak mencukupi oleh sebahagian warga maya yang berpendapat bahawa punca sebenar perlu ditangani dari peringkat akar umbi, iaitu sejak di bangku sekolah rendah.
Antara komen yang mencuri perhatian di laman media sosial Faceook ialah cadangan daripada seorang warga maya Anuar Razali, yang mencadangkan agar silibus Matematik di sekolah rendah diubah dan dikaji semula.
Menurut Anuar Razali, subjek ilmu hisab itu perlu direndahkan aras kesukaran supaya murid tidak cepat merasa tertekan terhadap subjek tersebut.
"Kalau di sekolah rendah lagi murid sudah rasa susah dengan subjek Matematik, mereka akan bawa persepsi itu hingga ke sekolah menengah dan menganggap Matematik memang susah,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Seramai 84,025 calon gagal dalam subjek Matematik dalam Laporan Analisis Keputusan SPM 2024. — Gambar Hiasan
Anuar Razali menegaskan bahawa pembentukan minat terhadap Matematik perlu dipupuk terlebih dahulu sebelum murid boleh memahami dan menguasai subjek berkenaan secara berkesan.
"Bagi murid minat dahulu, barulah subjek Matematik akan jadi mudah. Jangan terlalu memaksa otak budak sekolah rendah untuk menyelesaikan soalan berbentuk ayat," ujarnya.
Pada masa sama, ada juga dalam kalangan warga maya yang menyarankan pihak berkepentingan termasuk KPM untuk mempertimbangkan semula pendekatan sedia ada dalam silibus Matematik demi menjamin kecemerlangan pelajar pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram