Dari hujah mahkamah ke doa liang lahad, Siti Rasidah teruskan legasi ibu galas tugas uruskan jenazah


Siti Rasidah (tengah) berpengalaman lebih sedekad dalam bidang guaman, namun pada masa sama aktif sebagai pengurus jenazah sejak remaja lagi.

DI sebalik jubah guaman yang digalasnya, tersembunyi kisah seorang wanita yang bukan sekadar menegakkan keadilan di mahkamah, tetapi turut memberikan penghormatan terakhir kepada mereka yang kembali ke pangkuan Ilahi.

Siti Rasidah Abd Radzaz, 41, berpengalaman lebih sedekad dalam bidang guaman, namun pada masa sama aktif sebagai pengurus jenazah sejak remaja lagi bersama adik-beradiknya yang lain. 

Minatnya itu bermula apabila beliau membantu ibunya, Hajah Sa’dah Saliehan, yang merupakan pemandi jenazah wanita di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

BACA LAGI : Pelajar subjek cemerlang SPM hampir dibuang sekolah meninggal dunia, guru kongsi kisah menyentuh hati

BACA LAGI : [VIDEO] ‘Di mana kamu nak…’, budak autisme Tamparuli masih hilang, rintihan ibu Muhd Aniq Faiz undang sebak

"Saya belajar semasa remaja bahawa menguruskan jenazah bukan sekadar tugas, tetapi satu amanah yang menyucikan hati dan mendidik jiwa,” katanya yang kini menetap di Johor Bahru, Johor bersama suami dan anak-anak.

Siti Rasidah Abd Radzaz

Bercerita lanjut kepada Majoriti, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang undang-undang itu memulakan kerjaya sebagai Timbalan Pendakwa Raya pada tahun 2008, namun mengambil keputusan untuk berundur pada 2015 demi memberi tumpuan kepada keluarga dan kerja amalnya.

"Ketika itu anak masih kecil dan saya mahu hadir dalam hidup mereka. Dalam masa sama, saya rasa terpanggil untuk menyambung kerja fardu kifayah yang dimulakan ibu," jelasnya.

Kini beliau menguruskan firma guaman Tetuan Siti, Affida, Arifin & Co di Taman Perling, Johor Bahru dan terus aktif dalam pengurusan jenazah menerusi Badan Pengurusan Jenazah Al-Kauthar. 

Ketika pandemik COVID-19 melanda, Siti Rasidah mengambil inisiatif belajar memandu van jenazah sendiri.

Beliau turut memberi kursus kepada orang awam dalam ilmu pengurusan jenazah. 

Jelasnya, beliau menguruskan pusat pengurusan jenazah itu bersama adik-beradiknya yang berkhidmat sebagai  jurutera, pensyarah, kakitangan jabatan kerajaan dan usahawan demi menyambung legasi ibu mereka. 

Antara pengalaman paling menyentuh hati buatnya ialah menguruskan jenazah yang tidak dituntut, termasuk yang tidak dikenali waris atau tidak sempurna sifatnya. 

Katanya, semua insan yang meninggal dunia berhak diberikan penghormatan terakhir yang sewajarnya.

Ketika pandemik COVID-19 melanda, Siti Rasidah dan suaminya mengambil inisiatif belajar memandu van jenazah sendiri demi memastikan proses pengurusan berjalan lancar tanpa perlu bergantung kepada pihak luar.

Siti Rafidah bersama suami dan empat orang anak mereka. 

"Walaupun saya peguam, saya tetap tidak malu memandu van jenazah, mengangkat jenazah dan memandi serta mengkafankannya. 

"Ia tugas yang mulia," katanya sambil berharap lebih ramai golongan muda tampil belajar ilmu fardu kifayah ini.

Menurutnya, masyarakat perlu membuka mata bahawa tanggungjawab ini bukan hanya untuk orang tua, tetapi perlu diwarisi anak muda sebagai bekalan akhirat dan sumbangan kepada komuniti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram